[VIDEO] Dituduh bunuh ibu kandung, penganggur berdepan hukuman mati

Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka, pada Rabu.
Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang penganggur berstatus duda berdepan hukuman gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya pada 5 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Rozizah Md Dom, 64, di sebuah rumah bernombor, Batu 9 1/2 Kampung Paya Luboh antara jam 2.30 hingga 3 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya methamphetamine ke dalam badannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah di sini, jam 1.35 pagi 6 Julai lalu.

Dia yang mempunyai dua orang anak itu bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah akta yang sama dan dibaca Seksyen 38B akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum dua tahun atau denda RM5,000.

Tertuduh juga perlu menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditarifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan ia membabitkan kes bunuh.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 Ogos depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat mangsa dan laporan ujian air kencing tertuduh.

Pada awal bulan ini, Sinar Harian menyiarkan seorang pesakit mental tergamak menikam ibu kandungnya sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam Rozizah Md Dom, 63, menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air.

Menurutnya, dua tikaman itu menyebabkan mangsa yang baharu kehilangan suami bulan lalu mengalami cedera parah pada leher kanan dan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.