[VIDEO] Tikam ibu sampai mati selepas terdengar bisikan

Zainol (tiga,kiri) ketika berada di lokasi kejadian di
Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.
Zainol (tiga,kiri) ketika berada di lokasi kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pesakit mental tergamak menikam ibu kandungnya sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam Rozizah Md Dom,63, menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air.

Menurutnya, dua tikaman itu menyebabkan mangsa yang baharu kehilangan suami bulan lalu mengalami cedera parah pada leher kanan dan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suspek mendakwa bertindak sedemikian selepas terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam mangsa kerana ibunya dikatakan menyembah berhala.

"Ketika kejadian mangsa dipercayai baharu selesai mandi sebelum ditikam suspek.

"Selepas menikam mangsa, suspek kemudian menyerahkan pisau itu kepada mangsa dan mangsa sempat membuang pisau itu melalui tingkap di bilik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan rumah mangsa.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ditahan suspek yang merupakan anak sulung dari lima beradik itu tidak bertindak agresif dan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah selain semakan mendapati suspek pernah menerima rawatan sebagai pesakit psikiatri di Hospital Melaka.

Land Rover membawa mayat mangsa ke hospital dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.
Land Rover membawa mayat mangsa ke hospital dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini pada Selasa.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka esok bagi tujuan mendapatkan permohonan reman," katanya.

Dalam kejadian jam 3.05 petang mangsa yang juga warga emas meninggal dunia akibat akibat dua tikaman di leher.

Kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia 30-an yang kemudian menjerit meminta pertolongan kepada jiran berhampiran.