Tindakan tegas banteras peniaga warga asing di Meru

Laporan Sinar Harian pada 16 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian pada 16 Julai lalu.
A
A
A

KLANG - Tindakan lebih agresif perlu dilakukan bagi membanteras isu premis haram diusahakan warga asing di Meru di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, operasi penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu dilakukan secara kerap dan berterusan sehingga masalah itu selesai sepenuhnya.

Pada masa sama katanya, MPK juga perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selain Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menangani permasalahan itu.

"MPK ambil tindakan setiap kali aduan dibuat cuma tindakan yang diambil itu perlu lebih agresif kerana isu sama sering berulang. Ada kala selepas tamat operasi, pengusaha premis ini akan berniaga semula.

"Maknanya kena ada tindakan lebih tegas, tindakan MPK saja tak mencukupi kerana bidang kuasa yang terhad. Jadi kena kerjasama daripada agensi-agensi lain untuk diselesaikan masalah ini," katanya pada Isnin.

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi

Beliau berkata demikian mengulas serbuan kali ketiga oleh MPK ke atas 11 kediaman yang dijadikan kedai runcit oleh warga asing yang ada antaranya menjual minuman keras baru-baru ini.

Mohd Fakhrulrazi berkata, selain Jalan Teratai, Taman Datuk Bandar turut menjadi 'port' warga asing menjalankan perniagaan dengan 80 peratus premis di kawasan itu diusahakan mereka.

Katanya, kegiatan itu bukan hanya mendatangkan masalah sosial dan kebersihan, malah telah menutup peluang perniagaan yang sepatutnya diisi orang tempatan.

"Penguat kuasa dan agensi terlibat bukan tidak buat kerja cuma tindakan mereka tidak tegas. Ada premis haram mempunyai bekalan elektrik yang diambil daripada pihak ketiga tetapi TNB tidak bertegas.

"Aktiviti ini berleluasa juga disebabkan oleh sikap segelintir penduduk tempatan yang menjadi dalang dan membuka ruang kepada warga asing berniaga. Mereka juga perlu dikenakan tindakan," katanya.

Beliau mencadangkan, kompaun lebih tinggi atau sitaan dilakukan ke atas warga tempatan yang membenarkan tanah mereka dijadikan premis perniagaan warga asing.

"Pernah ada tindakan perobohan dilakukan ke atas premis terlibat namun aktiviti sama masih berjalan.

"Pada pandangan saya sudah tiba masa tindakan lebih keras dilakukan melalui sitaan premis dan kediaman yang disalah guna menjadi kedai runcit," katanya.