Inkues Adib: Bomba minta tidak jalankan bedah siasat

Asisten Superintendan Lew Keng Joe
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pegawai bomba memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Joe bahawa tidak perlu menjalankan bedah siasat terhadap mayat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Keng Joe yang merupakan saksi ke 28 Inkues Kematian Muhammad Adib memberitahu Mahkamah Koroner, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika dia tiba di Institut Jantung Negara selepas dimaklumkan kematian Muhammad Adib.

"Saya tiba jam 10.30 malam dan ada beberapa pegawai bomba yang tidak memakai uniform beritahu agar tidak perlu menjalankan bedah siasat terhadap mangsa," katanya.

Menurutnya, beliau kemudiannya menghubungi Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan arahan dikeluarkan agar bedah siasat perlu dijalankan.

"Proses bedah siasat bermula jam 1 pagi dan selesai lima jam kemudian," katanya pada pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin.

Faten: Adakah kamu berada sepanjang proses bedah siasat dijalankan?

Saksi: Iya.

Terdahulu, Keng Joe yang bertugas selama 14 tahun dalam pasukan beruniform itu berkata, beliau ada menemui Muhammad Adib selama tiga kali sepanjang anggota bomba itu dirawat di IJN.

Faten: Bila lawatan kali pertama kamu?

Saksi: Pada 28 November 2018, jam 4.30 petang saya sampai di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN tetapi tidak masuk ke dalam bilik rawatan. Saya ada berjumpa dengan abang mangsa, Mohamad Asyraf dan seorang doktor IJN.

Hasil rakaman percakapan, doktor memberitahu Muhammad Adib tidak sedarkan diri.

Faten: Kali kedua lawatan?

Saksi: Kali kedua pada 12 Disember jam 8.45 pagi dan saya telah berjumpa dengan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

Saya nampak mangsa sedarkan diri tetapi tidak boleh bercakap kerana ada tiub di dalam mulut. Saya meminta izin daripada Dr Ezani untuk bertanyakan satu soalan kepada Muhammad Adib.

Faten: Ada tanya soalan?

Saksi: Ada. Saya tanya, Adib dilanggar atau dipukul? Dia tidak menjawab tetapi nampak beremosi. Dia menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan. Saya nampak tangan kirinya cuba menarik tiub di dalam mulut tetapi berjaya dihalang oleh jururawat yang berada di tepinya. Dr Ezani beritahu saya mangsa mungkin hilang ingatan kerana tekanan darahnya rendah.

Faten: Ada tak sesiapa yang pernah bertanyakan soalan ini kepada mangsa?

Saksi: Ada. Sebelum beredar, Dr Ezani memberitahu saya bahawa dia pernah bertanyakan soalan itu kepada mangsa tetapi Muhammad Adib juga enggan menjawab.

Faten: Adakah kamu catit maklumat ini?

Saksi: Ada

Faten: Terangkan lawatan kali ketiga?

Saksi: Saya ke IJN pada 17 Disember jam 2 petang, saya bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah telah sampai depan ICU. Tetapi saya dimaklumkan oleh pegawal keselamatan di situ bahawa ahli keluarga tidak benarkan sesiapa melawat. Saya cuma berada di luar sahaja.

Faten: Ada tak apa-apa maklumat yang kamu perolehi?

Saksi: Pegawal keselamatan memberitahu Muhammad Adib tidak sedarkan diri. Pada malam tersebut jam 9.45 malam saya berada di rumah telah dihubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia. Saya kemudiannya bergegas IJN.