RM801,000 untuk institusi pendidikan di Pahang

Ketua Pegawai Eksekutil Muip, Datuk Ahmad Hairi Husain (lapan, kanan) bersama penerima dalam satu program agihan sumbangan.
Ketua Pegawai Eksekutil Muip, Datuk Ahmad Hairi Husain (lapan, kanan) bersama penerima dalam satu program agihan sumbangan.
A
A
A

KUANTAN – Bantuan berjumlah RM810,000 sudah diagihkan kepada Institusi Pendidikan di Pahang melalui penyaluran dana daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP)

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM248,000 diagihkan kepada maahad tahfiz dan madrasah berdaftar tahun ini.

Menurutnya agihan bantuan pada pusat pendidikan Islam berlaku peningkatan ketara berbanding RM194,000 tahun sebelumnya.

“Selain itu, sejumlah RM174,000 diagihkan kepada Sekolah Menengah Agama Negeri, Kelas Al-Quran Kanak-kanak (KAKK), pula menerima peruntukan RM151,000.

“Seterusnya sebanyak RM131,000 pula diagihkan kepada Institusi Pendidikan Bukan Milik Kerajaan (IPTA/IPTS) dan RM96,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau menjelaskan penyerahan bantuan terbabit telah diagihkan kepada 31 institusi pada Khamis lalu.

Tambah Asmadi, ia melibatkan tujuh sekolah dalam kategori Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), lima sekolah maahad tahfiz dan masing -masing empat sekolah menengah, serta sekolah rendah.

“Seterusnya lapan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta dua institut pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap bantuan yang disalurkan kepada institusi pendidikan di Pahang dapat melancarkan lagi aktiviti pendidikan agama seiring dengan keperluan semasa.

“Gunalah sumbangan dengan sebaiknya dan untuk keselesaan warga pendidik dan pelajarnya.

“Kita juga berterima kasih kepada pembayar zakat Pahang kerana dengan kutipan zakat yang diterima memberi peluang kepada MUIP mengagihkan kepada asnaf yang layak termasuk untuk institusi pendidikan Islam,” katanya.