Hasrat Kedah tanam padi lima kali dua tahun tetap diteruskan

Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedang menimbang pelbagai perkara untuk meneruskan hasrat melaksanakan penanaman padi lima kali dalam dua tahun seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasruddin berkata, antara aspek yang perlu diberikan perhatian termasuk sistem pengairan mencukupi serta varieti benih berkualiti tinggi.

Menurutnya, sehubungan itu, lawatan ke Vietnam telah dilakukan pada bulan lepas bagi mempelajari teknik penanaman padi tiga kali setahun yang dilakukan di negara terbabit.

“Di Vietnam, pengurusan padi dibuat tiga kali setahun, banyak perkara diperlukan untuk capai antaranya pengairan, varieti benih yang boleh dituai dalam masa 100 hari.

“Paling menarik, di negara terbabit tiada subsidi dibekalkan namun mereka boleh laksanakan, kita akan perhalusi semua aspek supaya hasrat untuk tanam lima kali dua tahun itu dapat dilaksanakan di Kedah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor) berhubung hasrat melaksanakan penanaman padi lima kali dalam dua tahun, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di sini pada Isnin.

Azman berkata, lawatan tersebut memberi inspirasi kepada Kedah untuk mengadaptasi teknik yang diguna pakai di Vietnam.

“Di sana, selepas dua minggu tuai, terus dilakukan penanaman semula. Antara yang saya perhatikan penggunaan mesin tuai bersaiz lebih kecil untuk elak kerosakan tanah, jadi kita sedang perhalusi beberapa aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit) berhubung kebimbangan penggunaan tanah yang cepat dan kekangan sumber air membantutkan cadangan tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menyangkal dakwaan yang mengatakan projek parit tersier tergendala di beberapa kawasan, sebaliknya status kemajuan bagi pembinaan projek terbabit telah mencapai 30 peratus setakat Jun lalu.

Azman berkata, bagaimanapun pelaksanaan projek terbabit tertakluk kepada kelulusan peruntukan kewangan dan kemajuan pengambilan tanah.

Menurutnya, projek tersebut masih menjadi agenda utama pembangunan infrastruktur di Kawasan Muda.

“Kerja-kerja pembinaan sedang dilaksanakan di enam blok pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), iaitu masing-masing tiga blok di Kedah dan Perlis.

“Iklan bagi pembangunan sistem pengairan tersier di dua blok, iaitu blok tujuh dan lapan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat telah dibuat bagi pelaksanaan projek tahun ini yang dijangka ditawarkan pada November,” katanya lagi.

Azman memberitahu, MADA meneruskan pelaksanaan projek bagi blok-blok yang belum dilengkapi dengan sistem pengairan tersier dalam Rancangan Malaysia Ko-12 (RMK12) dan rancangan lima tahun seterusnya.

“MADA menyelia 57,635 pesawah di Kawasan Muda. Di keseluruhan rantaian industri padi terdapat pelbagai pemain seperti pesawah, pembekal perkhidmatan serta pengilang yang memainkan peranan masing- masing,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan benih, baja dan racun bagi memastikan ia mengikut jadual, Azman tegaskan, ia tertakluk kepada pihak pembekal yang dipersetujui di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“MAFI melantik 12 pengeluar benih melalui pengeluaran lesen borong oleh kerajaan mulai 12 Julai 2021 bagi pembekalan benih padi.

“Walaupun begitu, MADA turut menambahbaik proses pengedaran dan pembekalan dengan menetapkan jadual bekalan air dan permulaan musim penanaman bersama pemimpin peladang dengan mengambil kira situasi bekalan benih,” katanya.