DUN Sabah tolak usul bahas ancaman waris kesultanan Sulu

Sidang DUN Sabah
Sidang DUN Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menolak usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 pada Isnin.

Usul yang dikemukakan Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang adalah berkaitan untuk membincang dan membahas mengenai ancaman keselamatan daripada pihak waris kesultanan Sulu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya memaklumkan bahawa usul itu hanya diterimanya pada pagi Isnin iaitu kurang daripada 24 jam sebelum bermulanya sidang DUN Sabah.

"Saya telah terima satu usul daripada ADUN Senallang pada jam 11.20 pagi tadi di bawah peraturan mesyuarat 23.1. Namun demikian saya memutuskan untuk menolak usul tersebut berasaskan peraturan 23 (2) di mana permohonan telah dibuat kurang daripada 24 jam yang ditetapkan sebelum bermulanya sidang.

"Jadi disebabkan usul hanya dikemukakan pada jam 11.20 pagi tadi maka masa 24 jam tidak dipenuhi di bawah peraturan mesyuarat 23 (2) dan dengan itu usul ditolak," katanya berdasarkan usul yang dikemukakan kepada beliau.

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

Kadzim turut berkata, perkara itu juga sesuai dibawa ke sidang Parlimen kerana ia harus ditangani oleh kerajaan Persekutuan.

Mohd Shafie bagaimanapun meminta bahawa usul itu tidak semestinya diterima pada hari pertama sidang DUN berlangsung dan ia boleh dibahaskan pada hari keempat sidang DUN.

"Saya faham, saya tahu peraturan itu, Datuk Speaker boleh menolak tetapi oleh kerana saya pun telah menghantar usul ini tidak semestinya dibahaskan sekarang.

"Mungkin satu ketika penghujung hari Khamis kerana ini merupakan satu kedaulatan Sabah sudah 65 tahun isu ini menghantui kita, saya bukan mengiktiraf Sultan Sulu itu.

"Tetapi perkara ini perundangan, undang-undang yang ada dan saya juga akan bawa pergi Parlimen minggu hadapan. Perkara ini penting kepada negeri Sabah," katanya.