Petronas sahkan dua anak syarikatnya terima notis 'Saisie-arret'

Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. menerima notis 'Saisie-arret' pada Isnin. - Gambar hiasan
Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. menerima notis 'Saisie-arret' pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. seperti yang dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis 'Saisie-arret' pada Isnin.

Syarikat gergasi petroleum Malaysia itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

"Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk 'Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia'. Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan ini telah menerima notis 'Saisie-arret' pada 11 Julai 2022.

"Petronas ingin menjelaskan kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

"Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Ia juga adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.