MB jawab kebimbangan isu projek Empangan Nenggiri

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Projek pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang menjadi isu penting pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 pada Isnin apabila beberapa pemimpin negeri menyatakan kebimbangan berlaku kerosakan alam sekitar dan banjir besar.

Antara isu yang diketengahkan adalah keadaan empangan dikhuatiri akan memberi kesan kepada aktiviti pembalakan hutan, pencemaran sungai, runtuhan tanah dan banjir.

Selain itu, mereka juga mahu kerajaan memberi jaminan pembinaan empangan itu tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan penduduk termasuk komuniti Orang Asli yang terlibat.

Antara wakil rakyat yang mahu kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan Empangan Nenggeri tidak memberi kesan negatif kepada rakyat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh memberi jaminan berhubung isu berkenaan.

Menjawab perkara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sudah membuat persediaan wajar termasuk menjalankan beberapa kajian yang berkaitan dengan impak terhadap alam sekitar.

“Kebimbangan yang ditimbulkan itu tidak relevan kerana beberapa langkah sudah dilaksanakan termasuk kajian potensi mineral, kajian sosial dan kajian impak terhadap alam yang sudah dan sedang dibuat.

“Kajian ini akan memberi panduan kepada kerajaan. Kerajaan sangat simpati dan mengambil berat perkara yang memberi kesan tidak baik kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim di sini, pada Isnin.

Sementara itu, ketika menjawab soalan ADUN Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus berkaitan faedah pembinaan Projek Empangan Nenggiri, Gua Musang kepada Orang Asli, Ahmad berkata, komuniti itu akan mendapat tempat tinggal yang lebih baik pada masa akan datang.

“Orang Asli akan ditempatkan di tempat-tempat yang lebih baik dengan kemudahan awam dan juga akan diberikan kawasan untuk mengusahakan tanaman getah.

“Kita sudah mengadakan lebih 30 kali sesi libat urus dengan mereka melibatkan tiga tempat iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wys,” katanya.

Jelas Ahmad, projek tersebut juga akan membekalkan air bersih kepada rakyat negeri ini dan menjadi sumber pengairan untuk pertanian serta pelancongan.

“Projek Empangan Nenggiri ini mampu memberi peluang pekerjaan sebanyak 2,500 pada peringkat pertama,” katanya.