Beli mesin jahit terpakai mula kehidupan baru

Mohd Razali menunjukkan antara tempahan yang kembali diterimanya.
Mohd Razali menunjukkan antara tempahan yang kembali diterimanya.
A
A
A

SEREMBAN - Bukan mudah buat seorang tukang jahit untuk bangkit semula selepas semua kelengkapan jahitannya musnah dalam kebakaran pada April lalu.

Lebih memeritkan buat Mohd Razali Bakli, 38, apabila dia perlu menggantikan kira-kira 50 helai kain pelanggannya yang turut musnah dengan kos keseluruhan hampir RM3,000.

"Saya sudah maklumkan kepada semua pelanggan tentang kejadian itu, malah saya bersyukur mereka memahami situasi tersebut selain tidak meminta ganti rugi.

"Bagaimanapun saya nekad menggantikan kesemua kain tersebut menggunakan wang simpanan tetapi bukanlah seperti kain asal dan menyiapkan tempahan menggunakan mesin jahit rakan saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Jelasnya, dia bernasib baik apabila buku tempahan pelanggannya tidak terbakar dalam kejadian itu dan kesemuanya berjaya disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Saya juga beritahu pada isteri yang saya sudah tidak mempunyai apa-apa lagi pada waktu itu, mujur isteri faham dan kami membina semula kehidupan bermula daripada perkara-perkara yang asas," katanya yang turut menerima kunjungan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) baru-baru ini.

Kediaman Mohd Razali sekeluarga di Taman Desa Ixora musnah dalam kebakaran April lepas.
Kediaman Mohd Razali sekeluarga di Taman Desa Ixora musnah dalam kebakaran April lepas.

Justeru, Mohd Razali berkata, sebagai permulaan untuk menyara keluarganya, dia telah membuat permohonan bantuan zakat daripada MAINS.

"Saya buat permohonan melalui Pejabat MAINS Cawangan Senawang dan Alhamdulillah saya mendapat bantuan bencana kebakaran sebanyak RM6,000 melalui amanah zakat MAINS.

"Jadi dengan bantuan zakat itulah, saya beli dua mesin jahit terpakai dan satu mesin jahit baharu untuk kembali menjahit serta menyara keluarga," katanya.

Mohd Razali menunjukkan mesin jahit yang dibelinya.
Mohd Razali menunjukkan mesin jahit yang dibelinya.

Mohd Razali kini tinggal di rumah sementara ihsan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) di Taman Tasik Jaya, Senawang dengan tidak dikenakan sebarang bayaran sewa selama setahun atau dua tahun sementara kedudukan kewangannya kembali kukuh.

Tambah Mohd Razali, dia mula menerima tempahan pakaian awal bulan ini dan keadaan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya sekeluarga.

"Saya baru sahaja menimang cahaya mata kedua pada Selasa lalu dan Alhamdulillah dengan upah tempahan pakaian ini dapatlah saya gunakan untuk perbelanjaan dan sara keluarga. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya isteri, Nuratiqah Abdullah dan keluarga yang banyak membantu," katanya.

Seminggu sebelum Ramadan lalu, rumah yang didiami Mohd Razali bersama keluarganya di Taman Desa Ixora, Seremban hangus dalam kebakaran kira-kira jam 4 pagi yang turut memusnahkan mesin jahit, peralatan menjahit dan tempahan pelanggan.