Saravanan jumpa Hamzah bincang isu pembekuan pekerja Indonesia

Saravanan (dua dari kanan) melancarkan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kepala Batas pada Ahad.
Saravanan (dua dari kanan) melancarkan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kepala Batas pada Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - Isu pembekuan pekerja asing dari Indonesia akan diselesaikan segera seperti yang diarahkan Perdana Menteri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin esok (Isnin) bagi memperhalusi cara untuk mengatasi isu berkenaan dengan Indonesia secara berhemah.

"Esok saya akan jumpa Menteri KDN dan kami akan meneliti cara untuk menyelesaikan isu ini mengikut pandangan yang diberikan Perdana Menteri.

"Kita tiada sebarang masalah dengan Indonesia dan isu ini akan diselesaikan dengan segera," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pada Jumaat, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyelesaikan isu pembekuan pekerja asing dari Indonesia.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan dan mahu penyelesaian segera dilakukan dua kementerian bertanggungjawab.

Sebelum ini, Indonesia dilaporkan berhenti daripada menerima sebarang permohonan baharu untuk mendapatkan pekerja asing dari negara itu untuk semua sektor buat masa ini.

Bagaimanapun, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, permohonan yang diluluskan boleh diteruskan.

Difahamkan, antara salah satu sebab keputusan itu dibuat adalah penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang sepatutnya tidak terpakai kepada pembantu rumah Indonesia berikutan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada April.

Pada 1 April, Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah menandatangani MoU di Jakarta mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Rumah Tangga Indonesia.