Indonesia henti terima permohonan dapatkan pekerja asing

Indonesia telah berhenti daripada menerima sebarang permohonan baharu untuk mendapatkan pekerja asing dari negara itu untuk semua sektor buat masa ini. - Gambar hiasan
Indonesia telah berhenti daripada menerima sebarang permohonan baharu untuk mendapatkan pekerja asing dari negara itu untuk semua sektor buat masa ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Indonesia telah berhenti daripada menerima sebarang permohonan baharu untuk mendapatkan pekerja asing dari negara itu untuk semua sektor buat masa ini.

Bagaimanapun, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, permohonan yang telah diluluskan boleh diteruskan.

“Kami telah menghentikan sementara pengambilan permohonan kerja baharu. Bagaimanapun, permohonan kerja yang telah diluluskan boleh diteruskan," jelasnya sebagaimana dilaporkan akhbar The Star.

Difahamkan, antara salah satu sebab keputusan itu dibuat adalah penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang sepatutnya tidak terpakai kepada pembantu rumah Indonesia berikutan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada April.

Pada 1 April, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah menandatangani MOU di Jakarta mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Rumah Tangga Indonesia.

Mengikut perjanjian itu, pengambilan pekerja dari Indonesia hanya dilakukan melalui Sistem Satu Saluran (OCS).

Selain itu, MoU berkenaan turut menyentuh mengenai kelayakan cuti tahunan, hak untuk berkomunikasi dan larangan menahan pasport pembantu rumah.