35,000 pengunjung meriahkan Festival Bon Odori

Orang ramai memenuhi pentas utama Festival Bon Odori sekitar jam 5 petang
Orang ramai memenuhi pentas utama Festival Bon Odori sekitar jam 5 petang
A
A
A

SHAH ALAM - Dianggarkan 35,000 pengunjung hadir pada Festival Bon Odori ke-46 yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic di sini pada Sabtu.

Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko berkata, festival tahunan itu pertama kali diadakan selepas dua tahun terhenti disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Invest Selangor dan Tourism Selangor yang menyokong penganjuran tersebut diteruskan.

"Tanpa sokongan yang tidak berbelah bahagi, tidak mungkin festival ini akan diadakan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu menjayakan festival dan menjaga keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), St John Ambulans dan lain-lain," katanya pada sidang akhbar Festival Bon Odori ke-46 pada Sabtu.

 Azrul Shah (dua dari kiri) kepada Takahashi Katsuhiko pada sidang akhbar Festival Bon Odori pada Sabtu.
Azrul Shah (dua dari kiri) kepada Takahashi Katsuhiko pada sidang akhbar Festival Bon Odori pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, setakat jam 4 petang, kawasan Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic dipenuhi orang ramai yang ada diantara mereka memakai baju tradisional Jepun.

Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas mengawal lalu lintas dan program berlangsung dalam keadaan terkawal.

Turut hadir Pengerusi The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL) Bon Odori Committee 2022, Dai Hoshiai; Presiden JCKL, Yoshiaki Okabe dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Katanya, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar di Malaysia dan merupakan pelabur ketiga terbesar di dalam negara.

"Kira-kira 1,500 syarikat Jepun melabur di Malaysia termasuk beroperasi di Selangor yang membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi di Malaysia.

"Jepun menghargai Kepelbagaian budaya dan toleransi di Malaysia yang menjadi enjin bagi mempromosi hubungan dua hala dalam pelbagai aspek termasuk Festival Bon Odori.

"Festival pada tahun ini adalah signifikan penyatuan antara Malaysia dan Jepun mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan diharap persembahan kebudayaaan ini menghiburkan pengunjung yang hadir pada festival ini," katanya.

Sementara itu, Dai Hoshiai ketika ditanya mengenai Bon Odori yang dikaitkan dengan upacara keagamaan menegaskan, penganjuran festival itu menjurus kepada persembahan kebudayaan.

Justeru itu katanya, semua pihak boleh turut serta dalam aktiviti persembahan dan tarian yang diadakan sepanjang program berlangsung.

"Penganjur anggap Festival Bon Odori ini sebagai program kebudayaan. Kami buka penyertaan kepada sesiapa sahaja. Mereka boleh tengok, belajar serta bertukar budaya selain turut serta menari di atas pentas," katanya.