'Mana hak anak saya?'

Norhamsiah (kanan) bersama peguam, Mohamad Zainudin (tengah) serta datuk saudara mangsa, Mustafa Hasan (kiri) ketika sidang media di Taman Rasmi Jaya pada Sabtu.
Norhamsiah (kanan) bersama peguam, Mohamad Zainudin (tengah) serta datuk saudara mangsa, Mustafa Hasan (kiri) ketika sidang media di Taman Rasmi Jaya pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - "Jika difikirkan kembali, apa yang dialami anak saya sememangnya tidak ternilai dengan wang ringgit," demikian luah ibu kepada seorang pemuda berusia 22 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lalu.

Lebih memeritkan hatinya apabila kerajaan difahamkan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan ganti rugi RM3.1 juta kepada mangsa.

Norhamsiah Ahmad Lathim, 61, berkata, tindakan tersebut sama sekali menidakkan hak yang sepatutnya diterima anaknya.

"Anak saya kehilangan bukan sahaja sebahagian daripada alat sulitnya, malah kepada seluruh kehidupannya.

"Bagi saya tindakan pihak kerajaan itu adalah sesuatu yang tidak munasabah, menafikan hak anak saya, yang bukan sahaja memberikan kesan kepada fizikal malahan kepada emosinya juga," katanya pada sidang media di Taman Rasmi Jaya di sini pada Sabtu.

Norhamsiah berkata, anaknya juga tidak dapat menjalankan kehidupan yang normal sebagaimana pemuda seusia dengannya.

Katanya, anaknya lebih suka menyembunyikan diri dan kurang bercakap, malah tidak menjalani kehidupan normal sebagaimana insan lain.

"Mujur adik-beradiknya yang lain banyak memberikan kata semangat kepadanya.

"Bayangkan kalau berkawan pun, dia tak berkawan dengan mereka yang seusia dengannya. Dia lebih gemar berkawan dengan kanak-kanak, mungkin dia malu akibat apa yang berlaku terhadap dirinya," katanya.

Menurut Norhamsiah, seharusnya pihak kerajaan lebih bertanggungjawab dalam soal ini.

"Bagi saya ini merupakan tindakan zalim, sudahlah anak saya kehilangan separuh dari kehidupan, apa yang sepatutnya dia peroleh juga dihalang.

"Seharusnya pihak bertanggungjawab perlu lebih peka dan prihatin dengan apa yang berlaku, bukannya menidakkan kejadian," katanya.

Sementara itu, peguam anaknya, Mohamad Zainudin Abu Bakar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Jabatan Peguam Negara yang menolak sepenuhnya keputusan hakim sebelum ini.

"Seharusnya pihak kerajaan perlu bertanggungjawab dan akur keputusan hakim dan bukannya bertindak sebegini," katanya.

Pada 13 Julai lalu, kerajaan Malaysia merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan ganti rugi RM3.1 juta kepada seorang pemuda berusia 22 tahun selepas mendapati hospital cuai dalam mengendalikan kes kepala alat sulit mangsa terpotong ketika berkhatan 12 tahun lalu.

Peguam Persekutuan, K Saravanan berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mewakili semua defendan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit di Mahkamah Rayuan pada 27 April lalu.

Katanya, pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 27 Julai ini di Mahkamah Rayuan yang akan dijalankan secara e-Review.

Pada 7 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir membenarkan tuntutan saman kecuaian yang difailkan pemuda berkenaan terhadap kerajaan Malaysia, pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis, Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan ganti rugi khas RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000 kepada mangsa.

Mangsa memfailkan saman pada 10 Julai 2018, ketika berusia 18 tahun melalui ibunya, menyatakan insiden berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika dia berusia 10 tahun mengakibatkan keseluruhan kepala zakar terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.