36 NGO desak projek musang king dihentikan serta-merta

Sebanyak 36 NGO berhimpun di Kampung Iboi bersama penduduk mendesak agar projek ladang durian musang king dihentikan serta-merta.
Sebanyak 36 NGO berhimpun di Kampung Iboi bersama penduduk mendesak agar projek ladang durian musang king dihentikan serta-merta.
A
A
A

BALING - Sebanyak 36 badan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya projek ladang durian musang king di Gunung Inas yang didakwa menjadi punca bencana banjir dan kepala air baru-baru ini, dihentikan serta-merta.

Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee mewakili kesemua NGO berkata, ladang terbabit yang didakwa menjadi punca tragedi di Kupang itu telah menjejaskan 1,500 penduduk termasuk mengorbankan tiga nyawa.

Mohd Sobri
Mohd Sobri

"Tindakan menebang hutan Gunung Inas yang dikatakan bagi memberi laluan kepada projek ladang durian tersebut disyaki penyebab banjir yang melanda 42 buah kampung dan kawasan perumahan di sini.

"Jadi kami mendesak agar pihak berkuasa membatalkan projek ladang durian musang king itu serta-merta dan memulakan semua usaha pemulihan hutan," katanya ketika ditemui semasa Himpunan NGO yang disertai 200 ahli dari 36 NGO di Kampung Iboi di sini, pada Sabtu.

Dakwanya lagi, ladang terbabit terletak di kawasan cerun melebihi 25 darjah yang sepatutnya dipelihara mengikut Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

"Bukit yang ditarah ini menimbulkan risiko hakisan tanah sehingga menyebabkan batang pokok dan lumpur dihanyutkan ke kawasan kampung," katanya.

Jelasnya, pada 2018, pemantauan telah dibuat pihaknya bersama Exco kerajaan negeri ketika itu, sebelum projek penanaman durian bermula dan mendapati terdapat kerja-kerja persiapan teres ladang sedang dilakukan.

"Kita juga lihat terdapat empat buah tandas dibina di mana sisa buangan dialirkan secara terus ke kawasan sungai yang menjadi sumber kepada 17 buah kampung dan 21,000 penduduk," katanya.

Menurutnya, ketika itu laporan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar tentang risiko kemungkinan berlakunya bencana banjir.

Justeru beliau berkata, himpunan tersebut turut mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti keseluruhan projek selain siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat terhadap semua pihak terlibat.

Desakan turut disokong penduduk Kampung Masjid Iboi, Zaidi Abdullah, 45, yang bersetuju dengan penubuhan RCI bagi mengetahui dengan jelas punca kejadian.

Zaidi
Zaidi

Seorang lagi penduduk, Azhar Mat Isa, 36, dari Kampung Bukit Iboi mengakui terkejut apabila menyaksikan sendiri kepala air dari Gunung Inas ketika berada di kebun ketika kejadian.

Azhar
Azhar

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk sudah pun melahirkan kebimbangan berlakunya kejadian tidak diingini, sebab setiap kali hujan lebat, air melimpah.

"Bagaimanapun tragedi kali ini benar-benar mengejutkan. Saya sendiri dengar bunyi macam gunung dibom sebelum kepala air melimpah. Lepas turun dari bukit saya lihat kampung sudah musnah, penduduk dihanyutkan sehingga ada yang terkorban. Kami takut ia berulang dan minta pihak berkuasa buat tindakan segera," katanya.