SPRM siasat projek musang king di Baling

Banjir lumpur baru-baru ini mengakibatkan beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas. Gambar kecil: Shaharom Nizam
Banjir lumpur baru-baru ini mengakibatkan beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas. Gambar kecil: Shaharom Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah dalam projek tanaman durian musang king di Gunung Inas di Baling, Kedah selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, setakat ini tiada mana-mana individu atau pihak yang tampil membuat laporan rasmi kepada SPRM.

"Pihak kami sendiri ada membuat tinjauan dan siasatan awal untuk mengenal pasti kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM.

"Sekiranya ada kesalahan dikesan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain, SPRM akan serahkan untuk tindakan pihak berkuasa berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, SPRM juga akan bertemu dengan beberapa pihak lain bagi tujuan pengesahan.

Shaharom Nizam turut menggesa individu atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan rasuah berkaitan isu terbabit untuk tampil bagi tindakan lanjut SPRM.

Banjir lumpur kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu mengakibatkan tiga nyawa terkorban, manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas.

Pada 6 Julai, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan terhadap projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, yang didakwa antara penyebab bencana Isnin lalu

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, tegas beliau, arahan supaya menghentikan penanaman durian itu dikeluarkan pada Julai 2020, iaitu selepas dua bulan beliau menjadi Menteri Besar yang turut melibatkan arahan kerja penanaman tanaman tutup bumi.