Pemandu ambulans rugi lebih RM21,000 diperdaya scammer

Ahmad Adnan Basri
Ahmad Adnan Basri
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pemandu ambulans kerugian lebih RM21,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula pada 27 Jun lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mengatakan terdapat tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

Menurutnya, selepas menafikan perkara tersebut, suspek menakutkan mangsa dengan mendakwa dirinya terlibat dalam penggubahan wang haram dan berdepan tindakan mahkamah kerana waran tangkap akan dikeluarkan.

"Pihak sindiket meminta mangsa untuk membuat bayaran.

"Mangsa diarah untuk membuat empat transaksi ke tiga akaun berbeza oleh suspek masing-masing berjumlah RM2,000, RM7,900, RM1,278 dan RM10,000 kononnya bagi mengelakkan ditangkap," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Ahmad Adnan berkata, mangsa yang berusia 36 tahun itu hanya mengetahui dirinya ditipu setelah hadir ke sebuah bank pada 14 Julai lalu bagi tujuan membuka kad bank baharu kononnya untuk menyelesaikan kes penggubahan wang haram.

Menurutnya, kemudian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan.