Laporan CEP boleh didedah ikut peringkat: MPN

Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) wajar didedahkan secara umum mengikut kesesuaian memandangkan ia bertujuan untuk melakukan pembaharuan dan kepentingan negara.

Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berpendapat, laporan CEP boleh dikategorikan kepada empat perkara iaitu maklumat terbuka, terhad, rahsia dan rahsia besar.

Menurutnya, jika laporan tersebut tidak sesuai untuk didedahkan kepada umum buat masa itu, tidak mengapalah.

“Bagaimanapun, laporan perlulah telus dan tidak disembunyikan namun, yang rahsia... rahsialah, yang rahsia besar memang tidak boleh didedahkan... itu sahaja.

“Laporan yang bersifat terbuka dengan penglibatan rakyat berkongsi maklumat, sebenarnya mampu mewujudkan suasana komitmen rakyat kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Raduan berharap CEP bukan sahaja mendengar tetapi mendapat maklum balas dan memanfaatkan strategi untuk dilaksanakan.

Katanya, itulah tugas sebenar dan peranannya mendedahkan perancangan-perancangan besar kerajaan.

“Sebab itu ia ditubuhkan untuk membantu kerajaan merangka perancangan pembangunan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 50 NGO desak kerajaan dedah laporan CEP

Terdahulu, sebanyak 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan CEP kepada umum dan tidak meletakkannya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

NGO tersebut mendesak Putrajaya supaya tidak melanggar janji yang dibuat dan tindakan meletakkan laporan CEP di bawah OSA bermakna kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu.