Mara beri 'joran', bimbing Haziq jadi usahawan - Asyraf Wajdi

Hantaran Facebook Asyraf Wajdi pada Ahad. Gambar kanan: Asyraf
Hantaran Facebook Asyraf Wajdi pada Ahad. Gambar kanan: Asyraf
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi bimbingan keusahawanan kepada Muhammad Haziq Asmadi Shawal atau lebih dikenali sebagai Haziq yang tular menjual kek bagi menyara keluarga untuk membolehkannya membina perniagaan sendiri.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya turut menawarkan peluang pendidikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada dua lagi adiknya.

Menurutnya, tawaran itu diberikan selepas pihaknya menghubungi dan menziarahi keluarga pemuda berusia 20 tahun berkenaan yang menetap di Pangsapuri Sentul Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Haziq akan dibantu untuk menjadi usahawan yang berjaya manakala dua adiknya akan ditawarkan kursus TVET di GiatMara Batu berhampiran kediaman dalam bidang automotif agar mereka juga mampu membina kerjaya dan bersama-sama meringankan beban keluarga.

"Inilah hakikat perjuangan Mara. Bukan sekadar menghulurkan bantuan untuk meneruskan kehidupan hari ini, tetapi membuka jalan untuk mengubah kehidupan hari esok," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Kisah kegigihan dan pengorbanan Haziq yang juga anak sulung daripada lapan beradik mengambil upah menjual kek di sekitar kedai makan dan kawasan awam bagi menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur tular di media sosial hingga meraih simpati ramai.

Haziq ketika tampil menjadi tetamu di salah sebuah stesen radio swasta sebelum ini turut berkongsi bahawa dia mula bekerja sebagai pengawal keselamatan seawal usia 16 tahun.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menerusi perkongsian sama berkata, bantuan berbentuk 'joran' yang diberikan itu diharap mampu membantu pemuda berkenaan membina kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

"Saya mahu Haziq juga mempunyai ruang untuk bermimpi, mengejar cita-cita dan menikmati masa depannya sendiri tanpa perlu mengorbankan segalanya demi kelangsungan hidup keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!