'Luar biasa' - Anwar, Syed Saddiq puji kepetahan murid Tahun Empat berhujah di Parlimen

Nik Ziyad ketika berhujah di Parlimen dikongsikan bapanya di aplikasi Threads tular.
Nik Ziyad ketika berhujah di Parlimen dikongsikan bapanya di aplikasi Threads tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Kepetahan Nik Ziyad Malikh, 10, menyampaikan hujah di Parlimen menerusi Program Fasih Kementerian Pendidikan Tahun 2026 menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kedua-dua pemimpin berkenaan turut meninggalkan komen menerusi perkongsian di Threads oleh bapa Nik Ziyad, Nik Alman Faluthi Nik Yusuf, 38, yang menceritakan kejayaan anak sulungnya itu terpilih menyertai program berkenaan.

Nik Alman berkata, sokongan sentiasa diberikan terhadap minat anaknya yang menunjukkan kecenderungan dalam bidang pengucapan awam sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Menurutnya, Nik Ziyad yang berasal dari Kelantan tetapi membesar di Selangor sejak kecil, mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi dan merupakan antara murid dari Selangor yang terpilih menyertai program berkenaan.

"Sebagai ibu bapa, kami memberikan sokongan penuh terhadap minat anak-anak.

"Doakan anak saya sentiasa istiqamah dan berjaya seperti idolanya, Syed Saddiq serta dapat berjumpa dengan Ahli Parlimen Muar itu suatu hari nanti," katanya menerusi perkongsian di Threads yang tular.

Anwar dan Syed Saddiq meninggalkan komen menerusi perkongsian di Threads oleh Nik Alman Faluthi yang menceritakan kejayaan anak sulungnya itu.
Anwar dan Syed Saddiq meninggalkan komen menerusi perkongsian di Threads oleh Nik Alman Faluthi yang menceritakan kejayaan anak sulungnya itu.

Dalam perkongsian sama, Nik Alman turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru pembimbing yang banyak membantu membentuk karakter dan peribadi anaknya sehingga berjaya melangkah ke pentas berkenaan.

Dia menyifatkan kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa bimbingan dan sokongan guru yang membimbing Nik Ziyad sepanjang persediaan program.

Antara guru yang disebut ialah Dr Azman, Cikgu Famiza, Cikgu Nadia, Cikgu Ria, Cikgu Wardah dan Cikgu Aina yang turut membimbingnya dalam bidang debat.

Menerusi ruangan komen, Syed Saddiq berkata, ketika berusia 10 tahun, beliau masih bermain permainan Pokémon.

"Masya-ALLAH umur 10 tahun dah masuk Parlimen. Saddiq umur 10 tahun tengah main Pokémon lagi.

"Saddiq doakan Ziyad bukan sahaja jadi macam Saddiq, tapi jauh lebih hebat daripada Saddiq suatu hari nanti.

"Ziyad sangat bertuah ada ibu ayah yang sentiasa sokong impian Ziyad. Insya-ALLAH kita jumpa nanti ya," katanya.

Anwar turut memberikan respons dengan mengucapkan tahniah kepada Nik Ziyad dan bapanya.

"Luar biasa. Seronok dengar Nik Ziyad berhujah. Terus terbang tinggi, Insya-ALLAH. Tahniah pada bapa," katanya.

Nik Ziyad (dua kiri) bersama rakan seperjuangan, guru besar dan guru pembimbing bahas selepas muncul johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan KPM 2026.
Nik Ziyad (dua kiri) bersama rakan seperjuangan, guru besar dan guru pembimbing bahas selepas muncul johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah peringkat daerah, negeri dan kebangsaan KPM 2026.

Matang kupas isu buruh kanak-kanak

Sementara itu, Guru Pembimbing Bahas sekolah berkenaan, Nor Hasnaa Jamalludin berkata, bakat dan potensi Nik Ziyad mula dikesan sejak Tahun Satu hingga Tahun Tiga apabila dia konsisten menunjukkan sahsiah baik, bijak serta berani menyuarakan pandangan.

Menurutnya, guru kemudian membimbing dan mengasah kebolehan murid itu secara berterusan sebelum dia diberi peluang menjadi pembentang dalam pertandingan inovasi ketika berusia sembilan tahun, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran penyampaiannya.

"Seramai 748 peserta dari seluruh Selangor menyertai saringan awal menerusi penghantaran video sebelum 15 orang dipilih Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk ke peringkat kebangsaan.

"Daripada 15 wakil Selangor itu, enam peserta dipilih, masing-masing membabitkan tiga murid sekolah rendah dan tiga murid sekolah menengah, untuk ke program peringkat kebangsaan," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, daripada keseluruhan 101 peserta sekolah rendah dan menengah di peringkat kebangsaan, hanya 27 orang dipilih untuk menyampaikan ucapan di Parlimen, termasuk Nik Ziyad.

Nik Ziyad (kiri) bersama rakan seperjuangannya yang menyertai program berkenaan.
Nik Ziyad (kiri) bersama rakan seperjuangannya yang menyertai program berkenaan.

Menurut Nor Hasnaa, murid Tahun Empat itu turut diberi tanggungjawab mengupas isu Buruh Kanak-Kanak dalam Ekonomi Digital dan Industri Media yang agak kompleks untuk dibincangkan pada usia berkenaan.

"Isu itu dipilih kerana dekat dengan realiti kehidupan kanak-kanak masa kini yang membesar dalam persekitaran digital, termasuk penciptaan kandungan, penstriman dan penggunaan media sosial.

"Bagi memastikan Nik Ziyad memahami topik tersebut, guru pembimbing membantu menghuraikan kandungan menggunakan bahasa mudah, menyusun kerangka hujah menerusi peta minda serta memberikan contoh situasi semasa.

"Persediaan turut merangkumi pemahaman mengenai hak kanak-kanak, ancaman eksploitasi digital dan kepentingan perlindungan undang-undang, selain latihan berkala serta simulasi pentas bagi meningkatkan kemahiran penyampaian," katanya.

Mengulas perkembangan anak muridnya itu, Nor Hasnaa berkata, perkara paling mengagumkan ialah kematangan dan ketenangan Nik Ziyad yang melangkaui usia sebenar apabila mampu mengupas isu berkenaan dengan lancar, jelas dan bersahaja.

"Pihak sekolah melihat Nik Ziyad memiliki potensi besar untuk menyerlah sebagai pemimpin pelapis yang berwibawa pada masa hadapan, bukan sahaja dalam bidang pengucapan awam malah sebagai individu yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!