50 NGO desak kerajaan dedah laporan CEP

Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum dan tidak meletakkannya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, NGO tersebut mendesak Putrajaya supaya tidak melanggar janji yang dibuat dan tindakan meletakkan laporan CEP di bawah OSA bermakna kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu.

“Hakikat bahawa seorang Timbalan Menteri PH mewajarkan langkah merahsiakan laporan yang disediakan dengan tujuan membantu proses pembaharuan, membimbangkan masyarakat sivil tentang komitmen kerajaan ini pada pembaharuan,” katanya.

Berdasarkan laporan yang dipetik daripada portal berita FMT, NGO pada pilihan raya yang lalu telah berlaku perubahan besar yang menuntut satu pembaharuan dilakukan terutama mengkaji semula OSA yang dianggap sebagai undang-undang represif.

“OSA adalah undang-undang cacat yang telah disalahgunakan bagi menyembunyikan perbuatan jenayah dan salah laku kerajaan.

“Ia telah digunakan untuk mengklasifikasikan pelbagai jenis dokumen sebagai rahsia, termasuk perjanjian konsesi lebuh raya dan air, minit mesyuarat dewan bandaraya dan indeks pencemaran udara,” ujarnya.

Dalam pada itu, kumpulan NGO tersebut mahu laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi dan enakmen Akta Kebebasan Maklumat didedahkan kepada umum.

“Maklumat yang penting dan berguna hendaklah boleh dicapai dan diakses oleh semua orang,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Mac lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menempelak dan menyifatkan kerajaan PH sebagai ‘gila’ selepas enggan mendedahkan secara umum laporan yang disediakan CEP.

Menurut Zaid, Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin bersama lima lagi ahlinya telah bekerja keras untuk menyediakan laporan tersebut yang mengandungi maklumat tentang penyalahgunaan kuasa dan perincian dalam tadbir urus kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mendesak supaya kerajaan PH tidak akan menghampakan seluruh rakyat di negara ini kerana langkah mengklasifikasikan laporan CEP di bawah OSA mencerminkan kerajaan hari ini tidak bersifat telus berbanding kerajaan BN.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang membidas kerajaan PH yang dilihat sebagai menyalahi undang-undang dan mengkhianati kepercayaan orang awam.