Minyak masak: Sesi libat urus cari penyelesaian menang-menang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus mengadakan sesi libat urus bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk semua susulan pengumuman harga minyak masak sawit akan diturunkan secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu terutamanya untuk terus memastikan kebajikan pekebun kecil sawit terpelihara.

Katanya, kementerian komited untuk memastikan industri sawit kekal sebagai sektor komoditi terbesar dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Justeru itu, katanya, KPPK menyambut baik mengumuman penurunan harga minyak masak sawit secara berperingkat yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa pada Khamis berkata, pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat pelarasan bagi menurunkan harga minyak masak berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.

Zuraida berkata, sebelum ini, KPPK telah mengadakan beberapa siri dialog bersama pemain industri minyak masak sawit untuk mencari penyelesaian menangani isu kenaikan harga barang keperluan ini, tanpa menjejaskan daya saing sektor ini.

"Pihak industri telah memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan dalam hal ini, berasaskan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) telah menyebabkan harga produk minyak sawit termasuk minyak masak meningkat dengan ketara di pasaran tempatan berikutan pengeluaran MSM yang rendah dan peningkatan harga minyak kacang soya.

Harga produk sawit turut dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak mentah Brent dan prestasi eksport minyak sawit yang kukuh di pasaran utama.

"Harga minyak sawit mula menunjukkan trend peningkatan yang ketara bermula pada pertengahan tahun 2020 dan telah beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022,” jelasnya.

Kerajaan telah mengimbangi kenaikan harga menerusi subsidi kepada 60,000 tan atau 60 juta paket polibeg satu kilogram bagi menampung keperluan pengguna tempatan, terutamanya golongan B40.

Harga minyak masak paket bersubsidi untuk pengguna tempatan ditetapkan pada RM2.50 sekilogram, berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM6.00 sekilogram. - Bernama