Yadim tubuh Skuad Duat Siber jawab kes hina Islam

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan bercakap kepada pemberita ketika sidang media pada majlis penghargaan dan ramah mesra Yadim bersama rakan media. - Foto Bernama
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan bercakap kepada pemberita ketika sidang media pada majlis penghargaan dan ramah mesra Yadim bersama rakan media. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) akan menubuhkan Skuad Duat Siber (SDS) bagi menjawab penghinaan dan persendaan Islam di media sosial.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, pasukan skuad itu terdiri daripada ilmuan agama dan berkemahiran dalam berdakwah.

"Karakter skuad ini mestilah seorang dai'e iaitu pendakwah yang boleh menyampaikan maklumat secara berstrategi," katanya.

Menurutnya, Yadim sedang memperincikan lebih lanjut mengenai penubuhan SDS sebelum memutuskannya dalam masa terdekat.

"Selepas ini Yadim akan adakan mesyuarat dan akan tentukan berapa kekuatan anggota skuad dan sebagainya," katanya menerusi sidang akhbar sempena majlis penghargaan dan ramah mesra bersama media, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Yadim menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Arief Tuan Soh turut membentangkan kad laporan prestasi yayasan itu bagi tempoh dua tahun iaitu 16 Julai 2020 hingga 15 Julai 2022.

Sebanyak 15,759 program telah dilaksanakan Yadim melibatkan hampir 6 juta peserta iaitu 547,644 penyertaan secara fizikal dan 5,347,972 peserta dalam talian.

Antara program yang dianjurkan adalah Bulan Dakwah Yadim, Ijtimak Asatizah Malaysia, Yadim Peduli: Musaadah, Sidang Kemuncak Ulama Sedunia, Forum Al-Quds Solidariti dan Wacana Antarabangsa Pendidikan Islam 2021.

Program tersebut mendapat kerjasama 2,179 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan sebagainya.

Selain itu, ia mendapat penglibatan 11,024 ejen Yadim.

Sementara itu, pada majlis sama, Nasrudin menyifatkan media sebagai lebuh raya maklumat dalam penyampaian mesej kepada masyarakat.

“Media sebagai sebuah keluarga dalam Yadim dan kami amat memerlukan media menyampaikan bukan sahaja berita tetapi bekerjasama dalam penganjuran program dakwah.

“Kami melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengamal media yang menyokong Yadim,” katanya.