Antara CLP dan mengiktiraf UEC

A
A
A

PEGUAM Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB), Tommy Thomas mengumumkan bahawa kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Biarpun sebelum ini, pada 23 September 2005, pihak LPQB memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf kelulusan UEC sebagai setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau STPM.

Namun, pada 5 Jun tahun lalu, LPQB mengubah keputusan mereka dengan menetapkan bahawa pemohon lepasan UEC wajib memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian di peringkat SPM atau dua kelulusan penuh di peringkat STPM yang diperoleh dalam satu peperiksaan sama.

Kini, LPQB secara sebulat suara memutuskan bahawa mulai 1 Januari 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah mesti lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM/O-Level/setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Ini sedikit berbeza berbanding cadangan awal sebelumnya.

Adakah tindakan LPQB dalam mengiktiraf kelayakan UEC untuk mengambil CLP adalah satu tindakan yang wajar dialu-alukan?

Politikus banyak memainkan isu ini kerana UEC adalah ujian peperiksaan peringkat menengah yang ditadbir oleh Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), ditawarkan dan diguna pakai oleh Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina.

Sentimen perkauman turut banyak dimainkan. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini tidak mengiktiraf UEC walaupun banyak tuntutan telah dibuat terutamanya daripada Dong Zong.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat oleh LPQB itu bukanlah secara membabi-buta. Menurut Tommy Thomas, pihak LPQB sendiri mendapatkan maklum balas daripada beberapa universiti di UK mengenai penerimaan mereka terhadap kelayakan UEC.

Universiti-universiti di UK rata-rata menerima permohonan lepasan UEC ini.

Sebenarnya, untuk menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini dalam mengiktiraf UEC adalah sedikit tidak wajar.

PH telah secara terang-terangan menyatakan dalam manifesto mereka bahawa mereka akan mengiktiraf sijil UEC.

PH berjanji untuk menjadikan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki universiti awam dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Malah, politikus Barisan Nasional juga tidak layak untuk mengapi-apikan isu UEC ini kerana Barisan Nasional juga turut memasukkan perihal mengiktiraf UEC sebagai sebahagian daripada manifesto mereka pada pilihan raya umum yang lalu.

Isu UEC adalah lebih adil untuk dilihat daripada perspektif isu pendidikan berbanding perkauman mahupun politik.

Sama ada kita sedar atau tidak, sijil UEC telah diterima oleh banyak universiti terkemuka antarabangsa termasuk Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University.

Namun, walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan sejak tahun 2004, UEC diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia.

Mulai tahun 2010, UEC juga diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan.

Secara personal, penulis tidak menyokong idea sekolah vernakular. Penulis lebih berminat dengan idea satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan.

Namun, memandangkan polisi sekolah vernakular masih kekal wujud dan tiada siapa yang berani untuk memansuhkannya, maka sistem UEC juga akan kekal wujud. Dan persoalan utama yang perlu dijawab adalah, jika kita boleh mengiktiraf kelayakan-kelayakan lain seperti O-Level, A-Level dan sebagainya, mengapa kita rasakan UEC tidak layak untuk diiktiraf?

Selagi mana UEC mempunyai tapisan kualiti yang munasabah dan baik, maka adil untuk UEC diiktiraf.

Dong Zhong perlu terus menitikberatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penuntut sijil UEC, dan terus menerima syarat wajib memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Mata pelajaran-mata pelajaran yang ditawarkan UEC, jika belum, perlu mematuhi dan selaras dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tetapi, apa yang diralatkan adalah apa sudah jadi dengan kenyataan Menteri Pendidikan bahawa status UEC masih sedang dikaji dan dijangka siap pada Julai tahun ini?

Kenapa LPQB begitu tergesa-gesa dan tidak menunggu sehingga kajian tersebut siap sebelum membuat sebarang keputusan?

* Penulis ialah peguam di HaemeHashim & Co