Semak imbang integriti, syarikat perlu tumpu kepada pekerja

Mohd Effendy ketika menyampaikan ucapan sebagai panelis dalam Forum Khas bertajuk Ketirisan Pemusnah Kesejahteraan Pekerja pada Khamis.
Mohd Effendy ketika menyampaikan ucapan sebagai panelis dalam Forum Khas bertajuk Ketirisan Pemusnah Kesejahteraan Pekerja pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berpandangan bahawa proses semak dan imbang perlu dilakukan bagi memastikan supaya integriti serta hala tuju syarikat lebih memberi tumpuan kepada pekerja.

Ujar beliau, saranan kerajaan supaya wakil pekerja ditempatkan dalam lembaga pengarah sesebuah syarikat juga disambut baik oleh MTUC kerana cadangan itu juga merupakan salah satu proses semak dan imbang yang sesuai dan berpihak kepada pekerja.

“Hari ini kita dikejutkan dengan kes penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) yang dibuat oleh kerajaan semasa pandemik Covid-19.

“Sudah tentu kalau kita sebut penyelewengan, ia melibatkan integriti. Jadi bagi MTUC, kita melihat institusi kena main peranan dalam semak dan imbang bagi memastikan kesejahteraan pekerja atau Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai panelis dalam Forum Khas bertajuk Ketirisan Pemusnah Kesejahteraan Pekerja pada Khamis.

Program yang dihoskan oleh Dr G Manimaran itu turut menampilkan barisan panelis seperti Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal; Penyelidik Undang-undang Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Centre, Arief Hamizan; dan penceramah bebas, Husni Abdul Rahman.

Selain itu, Mohd Effendy berkata, terdapat juga kajian yang mencadangkan supaya kerajaan mengubal satu akta atau peruntukan undang-undang bagi mengawal selia sesebuah organisasi di negara ini.

“Itu saya nampak lebih baik untuk proses semak dan imbang sama ada untuk mengimbangi keperluan syarikat, pekerja, dan kerajaan pada hari ini,” ujarnya.