Dua RUU bakal dibentang dalam DUN Perak

Mohammad Zahir (kiri) ketika sidang akhbar di Casuarina @ Kuala Kangsar pada Khamis.
Mohammad Zahir (kiri) ketika sidang akhbar di Casuarina @ Kuala Kangsar pada Khamis.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dua Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan bakal dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan bermula pada 18 Julai depan.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, RUU Sumber Air Perak (2022) akan dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari pertama persidangan.

Menurutnya, sesi perbahasan bagi RUU berkenaan akan dilaksanakan pada hari yang sama ia dibentangkan.

"Seramai 10 orang Ahli Yang Berhormat akan menyertai sesi perbahasan yang berlangsung pada hari persidangan yang sama iaitu lima orang dari pihak kerajaan manakala lima lagi dari pihak pembangkang.

"Sekiranya ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak disenaraikan oleh blok masing-masing, mereka boleh datang berjumpa dengan Speaker sebelum persidangan bermula untuk menyatakan hasrat berminat untuk turut serta dalam perbahasan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Casuarina @ Kuala Kangsar, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah.

Menurutnya, sesi penggulungan oleh Menteri Besar Perak akan berlangsung pada hari kedua persidangan iaitu 19 Julai.

Mohammad Zahir berkata, RUU Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pembubaran) 2022 pula akan dibentangkan sama ada pada 19 atau 20 Julai 2022.

Menurutnya, seramai empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyertai sesi perbahasan RUU berkenaan masing-masing melibatkan dua orang dari blok kerajaan dan dua lagi dari pihak pembangkang.

Jelasnya, usul tersebut akan digulung oleh Saarani pada hari sama ia dibahaskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat satu usul yang telah diberi notis untuk dibentangkan pada sesi Sidang DUN Perak kali ini iaitu Usul Penyata Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak yang akan dibentangkan oleh ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo.

"Ada satu usul persendirian yang telah disampaikan oleh ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli dan disokong oleh ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor. Usul itu diterima dan dimasukkan dalam aturan mesyuarat sebagai usul persendirian yang berkaitan dengan Enakmen Wasiat Orang Islam.

"Tetapi saya suka nak maklumkan, saya akan ada sesi perbincangan dengan ADUN Behrang bersama-sama pihak kerajaan sama ada usul itu akan kita teruskan dalam sidang dewan atau pun ada pindaan sedikit terhadap usul tersebut atau ia ditarik balik," katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh mengikuti penstriman langsung (live streaming) sepanjang persidangan berlangsung melalui saluran YouTube DUN Perak.