Bumbung terbang, 6 kelas terjejas

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Enam kelas yang digunakan murid tahun empat dan enam Sekolah Kebangsaan (SK) Marian Convent di sini rosak teruk selepas bumbung bangunannya diterbangkan angin dalam kejadian ribut semalam.

Keadaan itu menyebabkan 180 murid tidak boleh menggunakan kelas berkenaan berikutan ditakungi air selain buku serta perabot dalam kelas tersebut turut rosak.

Guru Besarnya, Datin Fauziah Abdul Samat berkata, kejadian ribut itu berlaku kira-kira jam 4 petang semalam membabitkan bangunan blok A sekolah tersebut yang tidak boleh digunakan atas faktor keselamatan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kejadian berlaku ketika cuti sekolah dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.

"Cuma kami amat berharap agar kerosakan ini diperbaiki segera kerana keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ADUN Canning, Jenny Choi.

Menurutnya, biarpun terdapat kelas yang tidak boleh digunakan, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa hari ini dengan menempatkan empat kelas tahun enam dan dua kelas tahun empat di dewan serta bilik lain.


Dewan sekolah digunakan sebagai kelas sementara yang dikongsi beberapa kelas bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran murid.
Dewan sekolah digunakan sebagai kelas sementara yang dikongsi beberapa kelas bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran murid.

"Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara telah dimaklumkan semalam manakala pegawai daripada Jabatan Pendidikan Perak turut membuat lawatan hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kos kerosakan akibat bencana ini dianggarkan melebihi RM100,000 kerana ia turut membabitkan perabot, buku dan peralatan lain di dalam kelas." katanya.

Dalam pada itu, seorang guru, Azlinda Ahmad, 48, yang berada di sekolah ketika kejadian berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan nampak pokok bergoyang kuat.

"Selepas hujan dan angin kuat reda, barulah bumbung bangunan terbang sehingga ke pintu pagar sekolah," katanya.

Sementara itu, Jenny yang ditemui berkata, pihaknya bersama-sama Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timur akan membantu menyalurkan dana bagi membaik pulih bangunan yang terjejas itu.