Streram pertimbang rayu keputusan mahkamah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon PH DUN Rantau, Dr S Streram masih mempertimbangkan sama ada akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan saman RM7.6 juta yang dikemukakan terhadap bekas pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saman tersebut berhubung dakwaan wujud salah laku ketika proses penamaan calon di kawasan berkenaan yang menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada PRU14.

Menurut Peguam Sathia Stella Sidhu, yang mewakili Dr Streram, rayuan tersebut boleh dikemukakan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh masa sehingga 20 April ini.

Sathia memaklumkan, isu yang dibawa dalam kes berkenaan merupakan isu baharu dan penting di mana Mahkamah Persekutuan perlu membuat keputusan sama ada pengurus pilihan raya kawasan Parlimen Rembau ketika itu, Amino Agos Suyub dan SPR merupakan penjawat awam menurut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau ditemui selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Pada 20 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Amino Agos dan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut.

Antara lain mahkamah berpendapat bahawa Dr Streram tidak dapat membuktikan Amino Agos seorang penjawat awam dan memerintahkannya membayar kos RM10,000.

Sebelum itu pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Amino Agos dan SPR untuk membatalkan saman berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dr Streram, 64, menyaman Amino Agos dan SPR pada 7 Mei 2018 kerana mendakwa defendan gagal menunaikan tanggungjawab di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958, yang mengakibatkan dirinya tidak dapat bertanding di kerusi DUN Rantau selepas memperoleh watikah pelantikan daripada partinya dan susulan itu, Datuk Seri Mohamad Hassan dari Barisan Nasional memenangi kerusi DUN itu tanpa bertanding.