JPVNT ambil sampel bangkai lembu, siasat punca kematian

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melupuskan bangkai 11 ekor lembu di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, pada Rabu. - Foto Bernama
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melupuskan bangkai 11 ekor lembu di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT) telah selesai mengambil sampel bagi mengenal pasti punca kematian 11 ekor lembu yang ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar di sini, Sabtu lepas.

Pengarah JPVNT Dr Anun Man berkata, untuk tujuan pengesanan racun, pihaknya melakukan persampelan bagi isi kandungan rumen yang dipercayai makanan terakhir ternakan iaitu rumput kering, terhadap tiga daripada 11 lembu tersebut.

"Bagi tujuan pengesanan penyakit pula, sebanyak lima sampel tulang panjang kaki belakang metatarsal turut diambil. Kesemua sampel ini dihantar ke Makmal Veterinar Zon Timur di Kota Bharu, Kelantan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Pada Selasa Bernama melaporkan bangkai 11 ekor lembu dalam keadaan berulat, sudah kembung dan dihurungi lalat ditemukan pada Sabtu lepas di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar di sini, dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Dr Anun berkata, pihaknya mendapati 11 bangkai lembu tersebut merupakan lembu jantan baka Brahman siam dewasa berumur anggaran tiga tahun.

Beliau berkata, kesemua haiwan ternakan tersebut didapati mempunyai tag atau tanda pada telinga dan pihaknya sedang menyiasat lokasi asal lembu tersebut berada sebelum dibawa ke tempat kejadian.

"Semua ternakan mempunyai tali hidung manakala dua ekor dengan keadaan kaki belakang terikat kepada pokok dipercayai digunakan oleh suspek bagi memindahkan 11 haiwan tersebut dari kenderaan ke tempat kejadian,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) bagi kesalahan dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan, menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada lembu.

"JPVNT memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan di talian 09-6221 822,” katanya.

Sebelum itu, Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Nerus Norehan Ali berkata, operasi pelupusan dengan cara menanam bangkai 11 lembu tersebut selesai dilakukan hari ini (Rabu) oleh JPV Kuala Nerus dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Proses pelupusan yang bermula 9.30 pagi hingga 11.30 pagi tadi dijalankan bagi mengelak peningkatan risiko penularan penyakit berjangkit dalam kalangan ternakan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas proses pelupusan bangkai lembu tersebut di sini, pada Rabu. - Bernama