Edar 500 pek daging korban ceriakan mangsa banjir

Edaran pek korban kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di Kampung Iboi, Baling.
Edaran pek korban kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di Kampung Iboi, Baling.
A
A
A

BALING - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan berkorban masa dan tenaga dengan berkampung dan menyambut Aidiladha bersama mangsa tragedi banjir di Kampong Iboi, Kupang bagi menceriakan kesuraman keluarga mangsa.

MyFundAction Perak bersama sukarelawan Youth Of Strength and Happiness (YOSH) MyFundAction mengambil keberkatan ibadah korban dengan mengagihkan lebih 500 pek daging korban sedia dimakan kepada mangsa terlibat.

Ketua Unit Operasi MyFundAction Perak, Wan Khadijah Wan Sulong berkata, inisiatif itu sebagai membantu meringankan beban mangsa banjir selain mahu meraikan hari raya bersama walaupun dalam serba kekurangan.

“Pek korban ini inisiatif MyFundAction, yang mana daging korban diproses dalam pek yang telah siap dimasak atau lebih dikenali sebagai ‘Ready To Eat Pack (RTE Pack)’.

“Ia dibungkus dalam pek kecil dengan kaedah teknologi pembungkusan retort dan dapat bertahan selama dua tahun. Dengan kaedah terbaik ini, dapat membantu proses agihan secara lebih cepat dan dijamin bersih,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua pek terbabit diedarkan beberapa hari sebelum dan sehingga sambutan Aidiladha pada Ahad dan ia merupakan pek korban yang diproses pada tahun lalu.

“Pada hari raya pertama dan kedua, kami turut tumbangkan 10 ekor lembu dan dimasak selain pek daging segar diedarkan kepada penduduk,” katanya.

Sukarelawan mengagihkan pek korban kepada mangsa banjir.
Sukarelawan mengagihkan pek korban kepada mangsa banjir.

Tambah Wan Khadijah, pihaknya simpati dengan nasib mangsa banjir yang sukar mengakses bekalan makanan mencukupi akibat tragedi yang sebahagian besar memusnahkan harta benda dan rumah mereka.

“Ini adalah antara usaha MyFundAction bantu mangsa-mangsa bencana mengisi perut kosong mereka dalam keadaan darurat.

“Pek korban ini tidak perlu dimasak, boleh terus dimakan dan memudahkan mereka pada ketika semua keperluan memasak ditenggelami air. Runtun hati kami melihat anak-anak mangsa banjir menjamah makanan dengan begitu berselera,” katanya.

Menurutnya lagi, diharap dengan inovasi pek korban tersebut dapat memanfaatkan ibadah korban yang sebenar selain memenuhi keperluan makanan mangsa banjir.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman berdepan cabaran ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ‘Pray for Baling’ anjuran MyFundAction.

“Keperitan yang mereka alami memilukan hati kami, ketika diuji rumah ditenggelami air, ada seorang ibu bersama anaknya yang sarat mengandung terpaksa memanjat bumbung menyelamatkan diri kerana air sudah sampai ke paras bumbung dengan arus deras. Kami memahami situasi mangsa bencana alam dalam mendapatkan makanan yang bersih dan sihat,”ujarnya.

Kata Wan Khadijah lagi, pihaknya kagum biarpun hampir sebahagian besar penduduk kampung terkesan dengan bencana alam itu namun mereka tetap bersemangat menghulurkan bantuan sesama sendiri.

“Salah seorang mangsa begitu tabah meluahkan perasaan dengan menyifatkan setiap ujian yang dikurniakan ada bersebab dan mangsa tidak putus berdoa kepada Allah SWT,” katanya yang berkongsi kisah sedih sebuah keluarga mangsa yang dibantu.