Mahsuri Food, Ikhlas.com agih daging korban

Penduduk dan wakil Surau Darul Iman menerima agihan daging korban daripada Mahsuri Food dan Ikhlas.com.
Penduduk dan wakil Surau Darul Iman menerima agihan daging korban daripada Mahsuri Food dan Ikhlas.com.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua ekor lembu dikorbankan Mahsuri Food Sdn Bhd sempena sambutan Aidiladha untuk diagihkan kepada 200 asnaf di kawasan kariah Surau Darul Iman di Kelumpuk Tempua C, Ampang Ulu Kelang di sini.

Ketua Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, 40, berkata, selain itu penerima turut menerima produk keluaran syarikat iaitu kicap lemak manis.

Menurutnya, agihan daging korban dan produk keluaran syarikat itu merupakan perkongsian rezeki dan tanda terima kasih kepada orang ramai yang menyokong Mashuri Food.

“Selain agihan daging korban, penerima turut menerima produk keluaran Mahsuri Food iaitu kicap lemak manis sebagai pelengkap rasa untuk masakan daging korban.

“Kicap ini mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kita juga mempunyai produk terbaharu di pasaran iaitu kicap Mahsuri ala Korea bawang putih dan kicap manis ekstra pedas,” katanya ketika ditemui di Surau Darul Iman di sini.

Hadir sama pada majlis korban berkenaan ialah Ketua Komersial Ikhlas.com, Mohd Nor Efendi Yahya dan Pengerusi Surau Darul Iman, Yusof Abu Kadir, 34, yang juga merupakan imam ketiga surau.

Program anjuran Mahsuri Food dengan kerjasama Ikhlas.com itu mendapat sokongan penuh daripada ahli jawatankuasa Surau Darul Iman yang menyediakan data penerima sumbangan di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut Mohd Jazri berkata, Ikhlas.com yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan Muslim secara dalam talian menguruskan program korban Mahsuri Food pada kali ini.

“Kerjasama erat ini memudahkan lagi tugas kami dalam mengagihkan sumbangan kepada golongan memerlukan secara lebih telus dan berharap ini dapat memberikan kegembiraan kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Yusof berkata, pihaknya berterima kasih kepada Mahsuri Food dan Ikhlas.com kerana memilih surau berkenaan sebagai lokasi pengagihan daging korban.

“Kita juga mengalu-alukan pihak yang mahu mengadakan program bersama atau menyumbang kepada surau di akaun Maybank, 562188127230 bagi merancakkan aktiviti kariah surau ini pada masa depan,” ujarnya.