Peguam Negara teliti kes aset negara dirampas waris kesultanan Sulu

IDRUS
IDRUS
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara dilapor sedang meneliti kes waris kesultanan Sulu yang didakwa merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dipercayai mempunyai kaitan dengan tuntutan RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, menurut laporan Free Malaysia Today.

“AGC (Jabatan Peguam Negara) telah dimaklumkan dan sedang meneliti perkara ini," katanya.

Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan bahawa pewaris kesultanan Sulu telah merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia itu.

Laporan itu menyebut, menurut peguam, langkah merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion itu adalah bagi pihak pelanggan mereka pada hari Isnin.

Ia juga adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Sebelum ini, waris Sultan Sulu dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama menjelaskan, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Turut dinyatakan dalam kenyataan sama, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kota Kinabalu, membuat keputusan tidak memihak kepada pihak yang menuntut dengan memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kerajaan Malaysia sendiri sudah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol.