'Lebih 10 tahun menunggu, mana kunci pangsapuri kami'

Wakil pembeli, Hasnah Husin mengharapkan pangsapuri Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru, yang masih terbengkalai disiapkan segera.
Wakil pembeli, Hasnah Husin mengharapkan pangsapuri Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru, yang masih terbengkalai disiapkan segera.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hampir 1,000 pembeli pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini kecewa, berputus asa sehingga tidak lagi mengharapkan kerajaan menyelesaikan kediaman mereka yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu.

Wakil pembeli, Hasnah Hussin, 53, berkata, ini kerana segala usaha dan aduan kepada pihak pemaju dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak mendatangkan hasil sehingga kini.

Dia yang merupakan seorang penjawat awam berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di Pasir Gudang juga telah datang melihat kawasan tersebut tetapi masih tiada penyelesaian.

"Malah beberapa sidang akhbar juga pernah dilakukan bagi menyatakan keluhan pembeli tetapi masalah tersebut terus buntu. Apabila pembeli menghubungi SPNB, mereka kata (kakitangan) sedang bercuti ada yang 'outstation'.

"Ini projek kerajaan Persekutuan. Jadi kami tidak mahu lagi jumpa wakil kerajaan negeri tetapi mahu jumpa Sultan Johor terus, kami harap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ambil tahu masalah ini," katanya ketika ditemui di pangsapuri itu pada Selasa.

Hasnah mengharapkan pangsapuri Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru, yang masih terbengkalai disiapkan segera kerana sudah menunggu terlalu lama untuk mendudukinya
Hasnah mengharapkan pangsapuri Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru, yang masih terbengkalai disiapkan segera kerana sudah menunggu terlalu lama untuk mendudukinya

Projek itu yang dikendalikan SPNB mula dibina pada 2010 dan dijadual siap pada Mei 2013, mempunyai keluasan 8.5 hektar dengan 972 unit pangsapuri meliputi enam blok yang dijual dengan harga antara RM50,000 dan RM250,000 sebuah.

Beberapa sidang akhbar pernah diadakan pembeli antaranya pada 2017, 2019 dan 2021 bagi mendesak pihak SPNB serta pemaju menyiapkan rumah tersebut tetapi masih lagi tidak siap.

Projek itu sudah tiga kali bertukar pemaju bermula dengan SPNB sebelum dijual kepada syarikat pemaju swasta, Cosmic Master Development Sdn Bhd pada 2015 dan kini bertukar tangan kepada subkontraktor syarikat Hong Xin.

Hasnah berkata, mereka difahamkan kerja-kerja menyiapkan pangsapuri tersebut tinggal 20 peratus sahaja lagi namun mereka tidak dibenarkan pemaju masuk ke rumah masing-masing melihat perkembangan terkini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia terpaksa membayar RM270 sebulan untuk pangsapuri tersebut sejak 2013 dan pada masa sama terbeban kerana masih duduk di rumah sewa dan perlu membayar RM1,200.

Idaham Jalani
Idaham Jalani

Sementara itu, Idaham Jalani, 45, berkata, pembeli sudah terlalu lama menunggu dan pihak SPNB hanya berjanji untuk menyelesaikan masalah pangsapuri berkenaan tetapi tiada tindakan konkrit.

"Kita terus bertanyakan bila kediaman ini akan siap, dari Januari hingga Jun lalu kita tanya bila akan diserahkan kunci sedangkan pembayaran sudah dibuat pembeli hampir 10 tahun lalu.

"Kita harap apa yang dititahkan Tunku (Sultan Johor) yang mahukan satu rumah satu keluarga dapat direalisasikan.

"Ini keluhan daripada pembeli, jadi kita minta semua agensi terbabit selesaikan masalah ini," katanya.