Risda catat jualan lembu korban lebih RM2 juta tahun ini

Mohd Salim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Program Korban Risda 2022 kepada wakil Madrasah Tahfiz Ulumul Quran, Redzuan Mohd Said (dua dari kanan) pada Majlis Korban Risda 2022 di Puri Buana @ RSSB, Bandar Baru Bangi pada Selasa.
Mohd Salim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Program Korban Risda 2022 kepada wakil Madrasah Tahfiz Ulumul Quran, Redzuan Mohd Said (dua dari kanan) pada Majlis Korban Risda 2022 di Puri Buana @ RSSB, Bandar Baru Bangi pada Selasa.
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mencatatkan jualan 413 ekor lembu korban bernilai RM2.07 juta tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Beliau berkata, hasil jualan melalui anak syarikat Risda, Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) itu menunjukkan peningkatan sebanyak 85 peratus berbanding tahun lepas.

Menurutnya, ia merupakan perkembangan positif walaupun berlaku peningkatan harga mendadak daripada RM4,000 sehingga RM6,000 seekor lembu, berbanding RM3,000 hingga RM4,000 seekor sebelum ini.

Tambahnya, permintaan lembu untuk ibadah korban meningkat tahun ini berikutan orang ramai teruja untuk meraikan Aidiladha selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19.

"Kita sasarkan jualan sebanyak 1,000 ekor lembu untuk tahun ini, jadi jumlah masih belum mukatamad kerana masih Hari Tasyrik.

"Dijangka hasil jualan boleh mencecah RM4 juta dengan jumlah lembu terjual sehingga 800 ekor untuk ibadah korban tahun ini," katanya ketika Majlis Korban Risda 2022 di Puri Buana @ RSSB, Bandar Baru Bangi, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Salim berkata, peningkatan jumlah jualan lembu tersebut memberi tanda yang baik bahawa kerajaan tidak perlu mengharapkan lembu import dari negara-negara jiran.

Disebabkan itu, pihaknya menyasarkan peningkatan pengeluaran lembu sebanyak 10,000 ekor pada tahun hadapan untuk pasaran sedia ada.

"Bagi menyokong bekalan industri makanan, RLSB buat masa ini mampu mengeluarkan sebanyak 6,000 ekor lembu setahun melalui ternakan secara fidlot oleh 23 usahawan ruminan di tiga ladang fidlot untuk daging segar bermutu.

"Jumlah ternakan secara integrasi pula akan ditingkatkan kepada 10,000 ekor bagi memenuhi permintaan daging tempatan yang diternak di 10 ladang sawit berkeluasan 47,000 hektar milikan Risda," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, Risda menyasarkan untuk menjadi peneraju pengeluaran daging halal tempatan di Malaysia.

Katanya, usaha tersebut mampu dicapai menerusi kerjasama strategik secara rasmi bersama beberapa syarikat pemasaran iaitu Koperasi Pos Nasional Berhad, Protaz International Sdn. Bhd. dan Mamu Livestock Sdn. Bhd.

"Sudah pasti matlamat kita adalah supaya negara tidak bergantung kepada makanan import.

"Jadi dengan adanya RLSB ini, ia dapat menyumbang kepada tujuh peratus pengeluaran daging tempatan," katanya.

Pada majlis sama, sebanyak 12 ekor lembu dijadikan korban pada tahun ini melibatkan 400 orang peserta yang terdiri warga Risda dan dua buah pertubuhan iaitu Rumah Bakti Al-Kausar dari Bandar Baru Bangi dan Madrasah Tahfiz Ulumul Quran dari Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Mohd Salim berkata, daging korban tersebut diagihkan kepada warga Risda, warga Kumpulan Risda Holdings (KRH), anak yatim serta pelajar tahfiz yang menepati kriteria ditetapkan oleh pihak pengurusan Risda.