Laman maya bukan platform raih populariti

Video tular menunjukkan persembahan wanita terbabit di kelab komedi.
Video tular menunjukkan persembahan wanita terbabit di kelab komedi.
A
A
A

KETIKA tumpuan dunia Islam terarah kepada ibadah wukuf terbesar di Arafah yang dilaksanakan semasa era pandemik Covid-19, negara pula dikejutkan dengan penyebaran video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita bertudung dan memakai baju kurung serta mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran tidak semena-mena menanggalkan baju kurung dan tudungnya.

Lebih mengecewakan, perbuatan wanita tersebut mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton di sebuah kelab komedi.

Kejadian tersebut yang dipercayai berlaku di kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur menimbulkan kemarahan dan kecaman ramai pihak.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan reman wanita berkenaan selama tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sememangnya kita tidak dapat menafikan kuasa tular amat berkuasa pada masa sekarang.

Beberapa minggu lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berjaya mengambil tindakan terhadap seorang wanita penjual air buah yang berkelakuan tidak senonoh melibatkan pelanggan dan pekerja di sebuah kedai makan di Setiu.

Rupa-rupanya, wanita berkenaan sebelum ini pernah dipanggil ke pejabat JHEAT untuk diambil tindakan dan diberikan nasihat.

Wanita itu berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya, malangnya dia masih melakukan perbuatan yang sama.

Sebelum itu tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang pekerja wanita di sebuah kedai makan.

Mungkin sudah sampai masa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melipatgandakan usaha memerangi ‘jenayah maya’ yang semakin berleluasa.

Langkah tersebut penting agar orang ramai tidak menyalah guna media sosial untuk mempromosi perbuatan tidak bermoral. Kita tidak mahu ia menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat.

Ingatlah, jenayah besar selalunya bermula dengan jenayah kecil.

Janganlah sosial media dan ruang maya menjadi platform untuk meraih perhatian serta populariti yang ‘singkat’.