200 rakyat Malaysia rai Aidiladha di Kedutaan Malaysia di Indonesia

Rakyat Malaysia berkumpul di Dewan Serbaguna Kedutaan di Kuningan, sejak awal pagi untuk meraikan sambutan Aidiladha di perantauan dilanjutkan dengan penyembelihan dua ekor lembu dan 11 ekor kambing. Foto Bernama
Rakyat Malaysia berkumpul di Dewan Serbaguna Kedutaan di Kuningan, sejak awal pagi untuk meraikan sambutan Aidiladha di perantauan dilanjutkan dengan penyembelihan dua ekor lembu dan 11 ekor kambing. Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini kembali mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha buat pertama kali sejak wabak Covid-19 melanda pada 2020.

Lebih 200 warga Malaysia berkumpul di Dewan Serbaguna Kedutaan di Kuningan, sejak awal pagi untuk meraikan sambutan di perantauan.

Mereka terdiri daripada kalangan petugas kedutaan dan keluarga serta warga Malaysia yang berada di Jakarta, bersama-sama Menteri Kaunselor Juraida Abd Jamil.

Sambutan meriah namun dengan protokal kesihatan yang ketat dimulakan dengan menunaikan solat sunat Aidiladha diimamkan Atase Agama Ustaz Muhammad Naqzrul Azraf Mhd Nazarludin.

Mereka kemudiannya bergotong royong melaksanakan ibadah korban yang diadakan di premis kedutaan dengan menyembelih dua ekor lembu dan 11 ekor kambing.

"Daging korban diagih kepada warga Malaysia yang datang dan penduduk di sekitar kawasan kedutaan," kata Juraida.

Sambutan Aidiladha tahun ini disambut secara sederhana namun tetap meriah di seluruh Indonesia.

Ia merupakan antara perayaan terbesar di Indonesia, negara yang berpopulasi lebih 270 juta penduduk dengan 85 peratus daripadanya beragama Islam.

Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat.

"Hari Raya Aidiladha bukan sahaja berkorban dengan menyembelih haiwan korban, tetapi ia adalah ketauhidan, dan aktiviti menyebarkan kebaikan dan kebahagiaan sesama umat," ciap Joko Widodo menerusi akaun Twitter rasminya. - Bernama