Asia Pasifik kekal pasaran utama perniagaan penerbangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat gergasi aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation terus melihat Asia Pasifik sebagai pasaran yang kukuh untuk perniagaan penerbangan dan kekal optimistik tentang prospek perniagaannya di Malaysia.

Ketua bahagian Pesawat Awam untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Didier Raynard berkata, walaupun industri penerbangan terjejas akibat pandemik Covid-19, permintaan untuk penerbangan perniagaan dijangka kekal kukuh.

Beliau berkata, pandemik itu telah mempercepatkan proses membuat keputusan, menjadikan orang ramai lebih sedar tentang nilai sebenar penerbangan perniagaan (penerbangan jet peribadi) kerana ia membolehkan mereka terbang terus ke destinasi pilihan mereka.

"Permintaan terpendam untuk aktiviti penerbangan perniagaan yang sebelum ini dikuasai oleh China tetapi kini ia beralih ke Asia Tenggara dan Australia sejak dua tahun lepas, memberi petunjuk positif untuk industri tersebut.

"Malaysia adalah salah satu pasaran penerbangan perniagaan terbesar di Asia Tenggara," katanya pada taklimat media di sini pada Jumaat.

Didier berkata, Dassault akan terus menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya dan bersedia untuk mengembangkan portfolio kemudahan menyelenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) di negara ini dengan pembukaan kemudahan baharu yang dibina khas seluas 144,000 kaki persegi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang, Selangor).

Kemudahan baharu bernilai RM100 juta itu dijadual dibuka menjelang akhir tahun 2023, ia akan mempunyai kawasan hangar yang lebih besar untuk mengembangkan lagi keupayaan anak syarikat Dassault, ExecuJet MRO Services Malaysia Sdn Bhd.

Hangar adalah bangunan tempat menyimpan dan menyelenggarakan kapal terbang.

"Pandemik telah menyebabkan cabaran yang besar untuk perniagaan kami kerana ia menjejaskan rantaian bekalan dalam beberapa bulan pertama tetapi pelaburan kami di Malaysia adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kami.

"Pandemik tidak mengubah apa-apa... mungkin hanya melambatkan beberapa perkara," katanya.

Setakat ini terdapat kira-kira 60 kemudahan MRO di Malaysia tetapi ExecuJet Dassault di Shah Alam ialah satu-satunya kemudahan MRO yang menyediakan perkhidmatan penerbangan perniagaan di negara ini.

Sementara itu, Didier berkata jet perniagaan terbaru Dassault, Falcon 6X, telah menerima sambutan baik terutamanya dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Pesawat itu berharga AS$57 juta (AS$1=RM4.42) untuk jet lengkap sepenuhnya, Falcon 6X ialah pesawat yang paling luas, canggih dan versatil dalam segmen jet perniagaan jarak jauh yang mampu memuatkan sehingga 16 penumpang.

Ia dijangka memasuki pasaran global menjelang pertengahan tahun 2023. - Bernama