Tiada perjanjian lantik TPM: Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

Beliau sebaliknya berkata, perbincangan mengenainya ada dilakukan namun tiada sebarang kata putus yang dibuat.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Marang berpandangan, tiada keperluan untuk melantik TPM buat masa ini kerana menyelesaikan masalah rakyat adalah perkara yang paling utama.

"Kita masih lagi berpegang kepada awal-awal kita tubuh kerajaan (iaitu) tiada Timbalan Perdana Menteri dan ia masih lagi (begitu).

"Perbincangan memang ada tapi tak ada keputusan kerana kita masih sibuk dengan urusan-urusan rakyat. Tidak ada janji (dengan) PN mengenai pelantikan TPM.

"Kita bincang tapi tak ada keputusan. Pendirian kita (masih kekal), iaitu (berusaha) selesaikan masalah rakyat, masih kekal tak ada TPM. Pilihan raya pun sudah dekat, jalankan tugas masing-masing sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

Sebelum ini pada 2 Julai, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ismail untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Jelas Muhyiddin, pertemuan itu diadakan supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini dapat dipertimbangkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, terdapat perjanjian bertulis untuk melantik TPM antara PN dengan Ismail.

Perjanjian itu didakwa dibuat sebelum Ismail dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.