Bekalan air Pulau Pinang pulih sepenuhnya pagi esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Masalah bekalan air Pulau Pinang dijangka akan pulih sepenuhnya bagi semua kawasan pada awal pagi esok, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa pada Jumaat.

Jaseni berkata, sehingga 10 pagi hari ini, operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua telah mencapai 100 peratus dan bekalan air Pulau Pinang telah mencapai 80 peratus.

Menurutnya, situasi yang berlaku di LRA Sungai Dua pada dua hari lepas, telah memberi kesan kepada lebih 500,000 pengguna namun PBAPP telah berjaya menyalurkan semula bekalan air kepada 80 peratus pengguna di kawasan Seberang Perai dan selatan Pulau Pinang.

"Bagi baki 20 peratus pengguna yang masih hadapi masalah bekalan air adalah mereka yang duduk di kawasan tinggi, pengguna di hujung sistem pam paip dan pengguna di bangunan bertingkat...pihak kami telah menghubungi pihak pengurusan bangunan bertingkat supaya mereka turut aktifkan sistem pam mereka," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang di pengerusikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini pada Jumaat.

Jelasnya, 20 peratus pengguna ini melibatkan kawasan Seberang Perai Selatan, kawasan tinggi di Gelugor sehingga ke Teluk Kumbar dan sebahagian kawasan di Balik Pulau.

"Kita telah menghantar tangki air dan air botol minuman kepada mereka yang hadapai masalah air dan PBAPP menjangkakan bekalan air di negeri ini akan pulih sepenuhnya pada waktu subuh, esok pagi," katanya.

Rabu lepas, operasi LRA di Sungai Dua terpaksa dihenti tugas berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah Isnin lepas.

Sementara itu, Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, Pulau Pinang akan terus memohon kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah mengambil serius cadangan untuk mewujudkan Lembaga Lembangan Ulu Muda atau Ulu Muda Basin Authority (UMBA) melindungi dan menguruskan bekalan air.

Katanya, penubuhan UMBA itu penting demi kelestarian bekalan air di kawasan-kawasan utara dibawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Selain UMBA, Pulau Pinang turut bersedia untuk melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi menjamin bekalan air di negeri ini tidak terjejas," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu. - Bernama