Dedah hasil siasatan kepada rakyat: SAM

Meenakshi
Meenakshi
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor perlu telus dan bertanggungjawab dalam mendedahkan hasil siasatan berhubung bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, kesemua fakta mengenai kejadian itu perlu dibongkar termasuk mendedahkan segala penemuan siasatan bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran kerajaan negeri itu

Menurutnya, pendedahan tersebut tidak cukup dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu atas sebarang tindakan atau kerana tidak bertindak menangani isu tersebut, sebaliknya ia perlu diperbetulkan termasuk mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah alam sekitar dan kecuaian mereka.

"Orang ramai perlu tahu apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan dan kematian yang telah berlaku.

"Kita mesti mengelak tragedi seperti ini daripada berlaku di masa depan dengan melindungi ekosistem yang sensitif kepada alam sekitar seperti bukit dan gunung dengan tidak membenarkan apa-apa jenis projek perladangan di kawasan ini," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Meenakshi turut kecewa apabila gesaan pihaknya supaya Suruhanjaya Siasatan Awam (COI) ditubuhkan bagi menyiasat kejadian banjir itu ditolak oleh kerajaan negeri Kedah serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA).

Beliau berkata, melalui suruhanjaya itu, ia akan dapat mengumpul maklumat lengkap bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan bukan hanya menyalahkan alam dengan mendakwa menjadi punca banjir besar itu berlaku.

Jelasnya, banjir di Baling bukan sahaja mengorbankan tiga nyawa, malah ratusan rumah dan harta benda penduduk kampung berhampiran Gunung Inas rosak, selain mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di Kedah dan Pulau Pinang disebabkan air Sungai Muda yang keruh.