Banjir Baling: Seorang dikesan positif Covid-19

Sebahagian daripada rumah penduduk yang teruk terjejas akibat banjir lumpur di Kampung Iboi
Sebahagian daripada rumah penduduk yang teruk terjejas akibat banjir lumpur di Kampung Iboi
A
A
A

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk Baling yang terkesan dengan tragedi kepala air dan banjir besar yang berlaku pada petang Isnin.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo berkata, mangsa yang positif kategori dua itu telah diasingkan di wad isolasi Hospital Baling.

Menurutnya, tiga kontak rapat turut dikenal pasti dan telah diasingkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas.

“Semua kontak rapat didapati tidak bergejala dan negatif melalui ujian RTK-Ag. Kita juga menjalankan pemantauan penyakit berjangkit dalam kalangan penduduk terjejas banjir, termasuk mereka yang tinggal di PPS.

“Pemantauan merangkumi penyakit seakan Influenza (ILI), leptospirosis, cirit-birit dan penyakit bawaan makanan dan air melalui klinik statik di PPS serta klinik kesihatan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Othman berkata, pasukan pengawasan kesihatan dengan kekuatan 20 anggota juga telah menjalankan pemeriksaan dan pengawasan berkala melibatkan aktiviti pencegahan lipas, lalat dan tikus serta nyamuk di semua PPS yang dibuka bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran berada pada tahap terbaik untuk keselesaan mangsa serta petugas.

“Setakat ini, tiga PPS masih dibuka untuk membantu penduduk yang terkesan banjir, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Al Khairiah dan Surau An Nur.

“Pejabat Kesihatan Daerah Baling meneruskan khidmat klinik perubatan statik di semua PPS melibatkan tiga pasukan perubatan dengan kekuatan 12 anggota,” katanya.

Beliau berkata, klinik perubatan di PPS SMK Jerai beroperasi 24 jam manakala operasi di dua PPS lagi bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Klinik perubatan ini memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan kepada penduduk yang memerlukan.

“Bencana alam juga berisiko memberi kesan kepada kesihatan mental dalam kalangan penduduk yang terkesan. Oleh itu, JKN Kedah telah menggerakkan Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan serta pegawai psikologi kaunseling dan seorang kaunselor dari Pejabat Pendidikan Daerah Baling,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Othman memaklumkan, pasukan tersebut telah membuat penilaian respons psikososial di lapangan serta memberi bantuan kecemasan psikososial secara perseorangan dan berkumpulan melibatkan penduduk terkesan di semua PPS termasuk petugas bantuan bencana.

“Pasukan ini akan memantau tahap kesihatan mental mangsa dan petugas bagi memastikan kesihatan mental mereka berada di tahap yang baik. Mereka yang mengalami masalah kesihatan mental seperti stres, resah dan kemurungan ekoran bencana dan memerlukan bantuan sokongan dinasihatkan hadir ke klinik kesihatan berdekatan,” ujarnya.

Menurutnya, selain itu individu yang mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan selesema diminta segera mendapatkan rawatan.

“Sentiasa utamakan kebersihan diri dan persekitaran agar tidak terdedah dengan penyakit bawaan air dan makanan, terutama penyakit leptospirosis, meliodosis dan keracunan makanan. Minum air bersih dan masak makanan dengan sempurna,” katanya.