Malaysia berjaya duduki kerusi UNESCO IGC ICH

Delegasi Malaysia yang menghadiri perhimpunan di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis
Delegasi Malaysia yang menghadiri perhimpunan di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakar sejarah apabila buat julung kalinya terpilih menduduki kerusi Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ternilai (IGC ICH) bagi sesi 2022-2026.

MOTAC dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kerusi itu berjaya diduduki selepas Malaysia menang bertanding dalam kumpulan negara Asia Pasifik dengan meraih 110 undi daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus.

Keputusan ini diumumkan secara rasmi oleh Penolong Ketua Pengarah Kebudayaan UNESCO, Ernesto Ottone R ketika 'The Ninth Session of the General Assembly of the States Parties to the Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage' pada 7 Julai lalu di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis.

Sesi ini turut dihadiri oleh delegasi dari Malaysia yang diketuai Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana kepakaran serta keupayaan Malaysia diiktiraf dan diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) melalui jawatankuasa tersebut.

“Tanggungjawab selaku negara anggota IGC ICH menuntut komitmen yang tinggi. Antara tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan termasuk melaksanakan objektif konvensyen; menyediakan garis panduan amalan terbaik dan membuat rekomendasi perlindungan WTK; menilai pencalonan bagi pengiktirafan di bawah senarai WTK; meluluskan program, aktiviti dan bantuan antarabangsa serta menyedia dan memperhalusi draf rancangan penggunaan peruntukan perbelanjaan kepada General Assembly untuk kelulusan,” katanya.

Tambah MOTAC, sehingga kini, enam elemen WTK di Malaysia telah disenaraikan di bawah Konvensyen yang sama, iaitu Mak Yong (2005); Dondang Sayang (2018); Silat ( 2019); Upacara Wangkang (2020); Pantun (2020) dan Songket (2021).

Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama yang padu daripada pelbagai agensi terutama MOTAC melalui agensinya Jabatan Warisan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kedutaan Malaysia di Paris dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO, Paris.

“Keberadaan Malaysia di platform peringkat antarabangsa khususnya UNESCO dapat membantu meningkatkan identiti dan visibiliti negara dalam usaha memelihara warisan yang tidak ternilai untuk dikongsi dan diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, MOTAC mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya bersama-sama berganding bahu memulihara, memelihara dan melindungi WTK selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara.