Sebak lihat kanak-kanak kutip sisa makanan

Petugas kesihatan kumpulan Mercy Malaysia memberikan rawatan kepada kanak-kanak Afghanistan yang berada dalam pusat perlindungan.
Petugas kesihatan kumpulan Mercy Malaysia memberikan rawatan kepada kanak-kanak Afghanistan yang berada dalam pusat perlindungan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sukarelawan Mercy Malaysia berkongsi pengalaman sedih mereka apabila melihat ramai kanak-kanak Afghanistan mengemis sehinggakan ada yang sanggup mengutip sisa lebihan makanan seperti kepingan roti dan susu yogurt di jalanan.

Ahli Exconya, Norazam Ab Samah berkata, masyarakat di sana hidup menderita dalam kemiskinan dan atas faktor tersebut, mereka menghadapi kesukaran dalam membiayai keperluan asas untuk anak-anak serta keluarga mereka.

“Saya melihat negara ini berdepan dengan isu kemiskinan serta kanak-kanak yang tidak bersekolah akibat daripada faktor ekonomi keluarga yang tidak mampu untuk membiayai yuran atau keperluan asas yang lain.

“Pengemis-pengemis di sana mengambil lebihan makanan seperti kepingan roti dan susu yogurt pula dimasukkan ke botol bekas. Kanak-kanak yang mengemis juga terlalu ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Norazam yang juga ketua sukarelawan bagi misi membantu mangsa gempa bumi di kawasan tersebut berkata, kematian mangsa-mangsa akibat tragedi menyayat hati itu memberi impak besar dari segi penambahan pendapatan kepada keluarga terutamanya jika mangsa tersebut adalah merupakan tiang belakang keluarga.

Salah satu rumah di kawasan desa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi.
Salah satu rumah di kawasan desa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi.

Menurut Norazam, sepanjang pemerhatian kumpulannya, faktor ekonomi di negara berkenaan menyebabkan mereka berdepan dengan kesukaran untuk menyara kehidupan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak.

“Mereka tentunya sangat sedih kehilangan ahli keluarga mereka, lebih-lebih lagi ahli keluarga dewasa yang turut terkorban itu merupakan tiang belakang keluarga.

“Mereka miskin dan dengan kehilangan ahli keluarga, siapa yang bakal bekerja? Siapa yang akan bina semula rumah mereka yang musnah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihak sukarelawannya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan bagi merawat penduduk Afghanistan di kawasan yang teruk dilanda gempa bumi seperti daerah Spera, Provinsi Khost.

“Di hospital pula, doktor pakar bedah ortopedik ditempatkan bagi tujuan merawat dan mengadakan pembedahan.

“Mercy Malaysia turut meninjau dan menilai keperluan semasa mangsa bencana di daerah Spera, seterusnya mengagihkan kit peralatan rumah, seperti tilam, bantal, selimut, pinggan mangkuk, periuk dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut Norazam, dengan sokongan daripada rakan kongsi tempatan, Pertubuhan Perlindungan, Kesihatan dan Amal Kebajikan Afghanistan (APHCO), pasukan perubatan Mercy Malaysia membantu pasukan perubatan dari Hospital Pusat Khost untuk menggerakkan klinik bergerak di kawasan terpencil yang terjejas akibat gempa bumi.

Norazam bersama kumpulan Mercy Malaysia ketika meninjau salah satu penempatan di kawasan gempa bumi.
Norazam bersama kumpulan Mercy Malaysia ketika meninjau salah satu penempatan di kawasan gempa bumi.

“Susulan penilaian awal di kawasan itu, pasukan penilaian pantas mendapati 450 rumah rosak (sepenuhnya atau sebahagian), 196 cedera dan 36 kematian.

“Klinik bergerak pertama telah dijalankan di Kampung Laka, daerah Spera untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kepada 70 pesakit (lelaki dan perempuan).

“Empat daripada mereka telah dirujuk ke hospital berdekatan. Pasukan penilaian pantas dapat memperoleh barangan isi rumah untuk 30 keluarga yang terjejas,” jelas beliau.

Tragedi gempa bumi yang menimpa wilayah timur Afganistan pada 22 Jun lalu telah menyebabkan kemusnahan besar pada beberapa kawasan penempatan dan lebih daripada 1,100 mangsa yang terkorban akibat bencana itu.

Kejadian gempa bumi tersebut dilaporkan antara yang paling buruk berlaku di bumi Afganistan dalam tempoh 20 tahun.