Bantah tamat keahlian kelab golf

Lebih 50 ahli kelab golf tersebut mengadakan piket aman bagi membantah tindakan pengurusan lama membatalkan keahlian mereka. (Gambar kecil: Albert Teh)
Lebih 50 ahli kelab golf tersebut mengadakan piket aman bagi membantah tindakan pengurusan lama membatalkan keahlian mereka. (Gambar kecil: Albert Teh)
A
A
A

TAIPING - Lebih 50 ahli sebuah kelab di sini mengadakan piket aman mendesak pengurusan lama kelab itu menjelaskan status ganti rugi keahlian mereka susulan tindakan penamatan keahlian kelab golf itu secara paksaan, tadi.

Pengerusi Komuniti Keahlian kelab tersebut, Albert Teh berkata, tindakan pengurusan lama menamatkan keahlian kelab golf mereka secara paksa disebabkan tapak itu dijual kepada satu pemaju baharu bagi tujuan pembangunan.

Menurutnya, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan keputusan dibuat oleh syarikat pengurusan lama kerana kontrak keahlian kelab golf ditandatangani pada tahun 1998 adalah sah sehingga 23 Jun 2054.

"Tindakan itu mengakibatkan ahli-ahli tidak berpeluang untuk bermain golf lagi.

"Pada masa sama, pada 20 September 2018, Taiping diiktiraf sebagai salah salah sebuah daripada 100 Destinasi Lestari Hijau Terkemuka dan untuk mengekalkan imej Taiping sebagai destinasi ekopelancongan, ahli-ahli berpendirian tegas bahawa padang golf itu tidak patut ditutup," katanya kepada media selepas mengadakan piket aman di pekarangan kelab golf tersebut di sini, tadi.

Albert berkata, jumlah keseluruhan semua ahli kelab golf berdaftar adalah lebih 500 orang, namun bilangan mereka terjejas disebabkan tindakan pengurusan lama dipercayai lebih 70 orang.

Menurutnya, jumlah pendaftaran keahlian bagi setiap orang adalah RM12,000 bagi tempoh sehingga tahun 2054 dengan bayaran bulanan sebanyak RM90.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, kedua-dua pengurusan baharu dan lama langsung enggan bertemu dengan kami bagi menyatakan solusi yang boleh ditawarkan mereka terhadap isu dihadapi kami.

"Kami berharap kedua-dua pihak prihatin dengan nasib kami dan segera memberi maklum balas dalam mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.