Ahmad Zahid persoal pendakwaan tanya soalan sama berulang kali

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang membela dirinya atas pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) pada Khamis mempersoal tindakan pihak pendakwaan menurutnya yang cuba memerangkapnya apabila bertanyakan soalan sama berulang kali.

Ahmad Zahid, 69, berkata, demikian semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, adakah pengurup wang, Omar Ali Abdullah menunjukkan secara fizikal cek yang disumbangkan kepada YAB untuk tujuan amal jariah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudian menjawab, sudah mencukupi baginya melihat penyata bank bulanan dan buku lejar yang merekodkan pemindahan dana YAB ke dalam akaun pelanggan di firma guaman, Tetuan Lewis & Co yang mengendalikan dana itu.

"Seseorang itu diberikan kepercayaan untuk mengkreditkan jumlah sumbangan dan sumbangan itu bukan atas nama saya secara peribadi, tetapi kepada sebuah yayasan. Sekiranya yayasan itu dipegang oleh firma guaman dan jelas sumbangan itu telah dikreditkan, adalah tidak bermoral jika kita bertanya siapakah pemberi itu? Adakah duit itu telah dimasukkan atau tidak?

"Cukup dengan kepercayaan ada penyata bank dan buku lejar yang diperlihatkan. Kita harus ada kepercayaan sebab yakin sumbangan itu adalah untuk amal jariah... apa yang ditanya kepada saya perkara yang berulang-ulang supaya saya terperangkap,” kata Ahmad Zahid.

Harris Ong bagaimanapun berkata, fakta perlu dibentangkan dalam menjawab soalan agar ia dapat diputuskan oleh mahkamah.

"Di mahkamah ini adalah untuk menuntut keadilan. Semua pihak mencari keadilan dan Datuk Seri (Ahmad Zahid) pun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jadi untuk mendapatkan keadilan, fakta perlu dibentangkan dan perlu dikemukakan bagi mencapai satu keadilan,” katanya.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid kemudian bangun dan berkata, perkara yang dinyatakan oleh pendakwaan itu boleh dibangkitkan semasa hujahan.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, itu adalah maklum balas daripada komen Ahmad Zahid yang menyatakan pihak pendakwaan bertanyakan soalan sama berulang kali.

Selepas itu, Harris Ong bertanyakan semula soalan kepada Ahmad Zahid: "Soalan saya mudah, adakah Omar Ali membawa kepada anda secara fizikal cek ini, sebab kamu beritahu B. Muralidharan (peguam Lewis & Co) tidak membawa salinan cek?

Ahmad Zahid: Yang Arif, ada tiga tarikh berbeza dan mustahil saya dapat ingat. Saya tidak diperlihatkan dengan cek asal, tetapi ada penyata bulanan yang sepadan dengan buku lejar.

Sebelum itu, Harris Ong merujuk Ahmad Zahid kepada 11 cek berjumlah RM3.8 juta yang diterima daripada individu dan badan korporat untuk disumbangkan kepada YAB dan wang itu dikreditkan ke dalam akaun pelanggan di Lewis & Co.

Ahmad Zahid kemudian bersetuju dengan Harris Ong bahawa beliau tidak mengetahui siapa pemilik cek berkenaan dan tidak pernah melihat cek itu secara fizikal.

Harris Ong: Datuk Seri beritahu tidak ketahui siapa pemilik cek, jadi saya katakan kenyataan Datuk Seri bahawa kesemua 11 cek adalah sumbangan daripada individu dan badan korporat kepada Yayasan Akalbudi bagi tujuan amal jariah adalah tidak benar kerana Datuk Seri tidak ketahui pemilik cek itu dan tidak lihat cek itu secara fizikal.

Ahmad Zahid: Saya nyatakan ia adalah sumbangan daripada individu dan badan korporat kepada Yayasan Akalbudi, mustahil di mahkamah saya mahu mengingat tiap-tiap nombor cek dan penyumbang. Penyata bank dan buku lejar adalah sepadan, ertinya kebolehpercayaan saya kepada Lewis & Co untuk kreditkan jumlah pada tahap optimum dan sumbangan telah dikreditkan di akaun pelanggan, jadi saya kekalkan kenyataan saya itu.

Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung. - Bernama