Kebajikan Yayasan Akalbudi terhenti selepas Ahmad Zahid didakwa

Ahmad Zahid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau. - Foto Bernama
Ahmad Zahid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa kebajikan dan kerja amal Yayasan Akalbudi (YAB) terhenti selepas beliau dituduh di mahkamah.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari pertama bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana YAB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Untuk rekod, Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali pada 19 Oktober 2018 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai yayasan oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata, terdapat 28 projek dijalankan oleh YAB.

“Salah satunya ialah projek di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Melaka.

"Sekolah ini bukan sahaja berjaya melatih pelajar menjadi seorang tahfiz malah mereka memperoleh keputusan A dalam setiap subjek ketika peperiksaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dulu YAB tanggung 100 peratus perbelanjaan sekolah itu tapi sekarang dah tak mampu, ia diserah kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Beliau berkata, sekolah tersebut merupakan sekolah agama swasta, mendidik pelajar untuk menghafaz al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaidi: Kenapa secara tiba-tiba YAB tak mampu tanggung operasi sekolah ini?

Ahmad Zahid: Selepas saya didakwa, atas arahan mahkamah, akuan bank YAB dibekukan, maka sumber pembiayaannya terputus.

Ahmad Zaidi: Apa yang berlaku kepada sekolah itu sekarang?

Ahmad Zahid: Sekolah itu terpaksa diserahkan kepada MAIM Melaka. Dulu, ia dapat menampung sehingga 500 pelajar, berbanding sekarang hanya 200 pelajar.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan dalam hujahannya memberitahu dana YAB disimpan dalam akaun amanah firma guaman Tetuan Lewis & Co, yang merupakan pemegang amanah yayasan tersebut.

Beliau berkata, dana YAB itu bukan sahaja disalurkan bagi kerja-kerja kebajikan di Parlimen Bagan Datuk, malah disumbangkan untuk pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan (AS$1 juta).

Selain itu beliau berkata, YAB juga menyediakan dana untuk perbelanjaan tiket, hotel, makan minum anggota keselamatan yang terlibat semasa bencana pesawat MH17 di Ukraine pada 2014.

Ditanya mengapa kerajaan tidak membiayai kos tersebut, Ahmad Zahid berkata, kejadian pesawat ditembak jatuh itu merupakan suatu peristiwa yang cemas pernah berlaku ke atas negara.

Ketika itu beliau bersama Ketua Polis Negara bertolak ke lokasi kejadian tanpa wang pendahuluan daripada kerajaan.

“YAB membiayai sebahagian daripada kos kumpulan forensik bagi menangani penghantaran serta pengenal pasti mayat-mayat penumpang MH17 ketika itu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, yayasan turut menyalurkan RM8 juta untuk pembinaan dataran Masjid Tuminah Hamidi, bantuan kepada keluarga kaum Cina dan India sempena perayaan Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

Ditanya mengenai objektif YAB yang sebelum ini membantu perkembangan Islam, Ahmad Zahid berkata, biarpun beliau beragama Islam, namun sebagai rakyat Malaysia yang sejati, beliau perlu berlaku adil untuk agama lain dan menyalurkan dana untuk kesejahteraan rakyat.

Pada 24 Januari lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini.