Tiga lelaki warga Bangladesh ditahan miliki pokok ganja

Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas di SJR Batu Melintang, Jeli.
Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas di SJR Batu Melintang, Jeli.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Kelantan menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan merampas sepohon pokok ganja setinggi 40 sentimeter (cm) dalam serbuan di sebuah rumah kongsi ladang sayur di Lojing, Gua Musang pada Selasa.

Dalam serbuan jam 10.27 pagi itu, polis turut merampas 5.3 gram ganja yang disembunyikan dalam lipatan surat khabar.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan menerusi Op Tapis Khas.

"Mereka yang bekerja sebagai buruh itu didapati positif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Tempur Jarak Dekat (C.Q.B) Siri 1/2022 Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kesemua suspek masih direman untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis berjaya merampas 2,030 kilogram (kg) daun ketum pada Rabu di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, Jeli.

Muhamad Zaki berkata, dalam kejadian jam 5.52 pagi itu, sebuah lori jenis Isuzu yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 49 tahun dari arah Grik ke Jeli telah ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai bungkusan plastik hitam yang mengandungi gulungan plastik cerah berisi dedaun kehijauan disyaki daun ketum.

"Selain itu turut dirampas ialah pil yaba sebanyak tiga biji, kodien 0.07 liter dan air ketum 0.33 liter.

"Pemandu lori tersebut didapati positif methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau," katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM60,943.80.