Mata air Masjid Kampung Binjai penyelamat lebih 1,000 penduduk

Penduduk kampung mengambil air daripada telaga mata air di Masjid Jamek Kampung Binjai. Gambar kecil: Dari kiri, Shabihis, Taufik Rahman dan Ummi Hasanah
Penduduk kampung mengambil air daripada telaga mata air di Masjid Jamek Kampung Binjai. Gambar kecil: Dari kiri, Shabihis, Taufik Rahman dan Ummi Hasanah
A
A
A

BAYAN LEPAS - Lebih 1,000 penduduk Kampung Binjai dan kawasan sekitarnya bersyukur apabila masih mempunyai sumber air mentah dengan adanya mata air yang mengalir dari bukit di belakang Masjid Jamek Kampung Binjai di sini.

Mata air yang mengalir ke sebuah perigi buatan di dalam masjid tersebut sering kali menjadi tumpuan penduduk ketika bekalan air terputus sejak beratus tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai, Basseri Hashim, 61, berkata, perigi mata air itu bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk sekitar malah seluruh penduduk Pulau Pinang sekiranya mengalami gangguan bekalan air.

Menurutnya, selain orang Islam, golongan bukan Islam juga dibenarkan untuk mengambil air bersih di situ.

Katanya, sejak tengahari Rabu, masjid tersebut tidak henti-henti dikunjungi orang ramai untuk mengambil bekalan air bagi kegunaan harian.

"Boleh dikatakan sejak tengah hari semalam (Rabu) sehingga awal pagi tadi, masjid ini tak putus-putus orang datang untuk tahan (tadah) air. Bukan sahaja penduduk di sini dan sekitar malah dari Gelugor dan Teluk Kumbar pun ada yang datang.

"Mereka yang tahu kewujudan perigi mata air ini, memang akan datang. Walaupun tekanan air tidak kuat, sekurang-kurangnya air di sini tidak berhenti mengalir (dari atas bukit)," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Lebih 1,000 penduduk Kampung Binjai dan kawasan sekitar mengunjungi Masjid Jamek Kampung Binjai sejak petang Rabu untuk mengambil air di telaga mata air.
Lebih 1,000 penduduk Kampung Binjai dan kawasan sekitar mengunjungi Masjid Jamek Kampung Binjai sejak petang Rabu untuk mengambil air di telaga mata air.

Bercerita mengenai perigi mata air tersebut, Basseri berkata, telaga tersebut wujud sejak 1813 dan airnya menjadi kegunaan jemaah masjid untuk mengambil wuduk.

"Dahulu perigi ini tidak elok sangat, sebab ia semula jadi. Ahli jawatankuasa masjid kemudiannya membaik pulih perigi ini selain memasang pam air pada 2018 dengan kos RM20,000 dengan menggunakan wang tabung masjid.

"Air mata air ini tidak berhenti sejak dahulu walaupun ketika musim kemarau, malah ia tidak boleh ditutup. Jika ditutup, maka ia akan beri tekanan di atas bukit. Oleh itu, kami biar saja ia mengalir. Jika tiada hal kecemasan seperti tiada bekalan air, air ini akan penuh dan mengalir sehingga ke jalan masuk masjid," katanya.

Tambahnya, penduduk kampung berharap agar tiada projek dijalankan di bukit tersebut yang akan merosakkan mata air tersebut.

Penduduk Taman Perda di Teluk Kumbar, Shabihis Ayub, 66, berkata, sejak jam 12 tengah hari Rabu, bekalan air di rumahnya terputus, namun masih bertahan dengan air tangki yang disimpan.

Shabihis sedang menadah air ke dalam tong yang dibawanya daripada rumah.
Shabihis sedang menadah air ke dalam tong yang dibawanya daripada rumah.

Bagaimanapun katanya, bekalan air yang disimpan semakin susut menyebabkan dia terpaksa membawa 10 tong berisipadu lima liter setiap satu ke Masjid Jamek Kampung Binjai untuk menadah air.

"Saya dulu tinggal di sini tetapi sudah pindah ke Teluk Kumbar. Jadi memang tahu kewujudan mata air di sini. Sejak petang semalam, memang air tiada, tetapi saya masih guna air simpanan namun tidak cukup.

"Sebab itu, pagi ini (Khamis) saya bawa 10 tong untuk isi air, sekurang-kurangnya cukuplah sehingga petang ini. Memang susah bila tiada air, nak masak tak boleh, nak beli di kedai, kedai pun tutup sebab mereka pun tiada bekalan air," katanya.

Dia turut menyatakan kekesalannya terhadap Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana tidak memberi sebarang notis berhubung perkara itu.

"Kami sebagai penduduk agak terkilan dengan PBAPP kerana tidak beri notis. Memang benar perkara ini disebabkan banjir di Baling, tetapi mereka (PBAPP) mesti sudah tahu perkara ini (bekalan terputus) akan berlaku jika berlaku banjir besar seperti kejadian Isnin lalu.

"Kenapa tidak maklum awal? Sekurang-kurangnya beri amaran, boleh kami (penduduk yang terlibat) membuat persediaan," katanya.

Sementara itu, penduduk Sungai Ara, Taufik Rahman Mohd Kassim, 62, berkata, rumahnya terputus bekalan air sejak jam 6 petang Rabu.

Dia yang datang ke Masjid Jamek Kampung Binjai bersama isterinya, Ummi Hasanah Ameg, 59, berkata, dia tidak sempat untuk membeli air minuman botol di pasar raya kerana semua stok sudah habis dijual.

"Rumah saya tiada air sejak jam 6 petang semalam. Ada juga pergi ke kedai dan pasar raya untuk beli air minuman botol tetapi habis. Oleh itu, kami guna air yang disimpan di dalam tangki dan baldi.

"Pagi ini (Khamis) masih tiada, air simpanan pun hampir habis, sebab itu kami datang ke masjid untuk ambil air. Harap-harap cepatlah ada air," katanya.

Pada Rabu, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan Seberang Perai berpusu-pusu ke kedai runcit dan pasar raya untuk membeli air minuman botol selepas bekalan air dilaporkan terputus secara tiba-tiba.

Pembelian panik itu dibuat selepas ada desas-desus mengatakan gangguan bekalan air itu akan berlaku dalam beberapa hari akan datang malah ada yang mendakwa sehingga minggu hadapan.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dihenti tugas sementara waktu iaitu selama empat jam bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari Rabu.

Tindakan itu diambil susulan kadar kekeruhan air mentah di loji tersebut dicatatkan tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah pada Isnin lalu.

Kon Yeow berkata, air mentah di loji berkenaan telah tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, penutupan operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di kawasan Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).

Katanya, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.

Tambahnya, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari pada Khamis.