[VIDEO] Suami isteri ditemui mati, dipercayai dibunuh ahli keluarga

Polis membawa keluar mayat mangsa untuk dibawa ke HRPB bagi proses bedah siasat.
Polis membawa keluar mayat mangsa untuk dibawa ke HRPB bagi proses bedah siasat.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh adik kandung di kediaman mereka di Taman Bercham Aman dekat sini pada Khamis.

Keadaan Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, itu disedari abang mangsa sekitar jam 8.45 pagi yang baru pulang dari tempat kerja.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika ibu mangsa berusia 90-an yang uzur dan berkerusi roda berada dalam kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, abang mangsa berusia 65 tahun itu memaklumkan bahawa kedua-duanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan kecederaan di kepala.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki terbabit melihat adiknya dalam keadaan terlentang di ruang tamu, manakala isteri bersandar di dinding dengan kesan lantai dipenuhi darah.

"Siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati, mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia di tempat kejadian sejak malam tadi (Rabu) yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

"Maklumat diperoleh, sebelum kejadian telah berlaku pertengkaran antara mangsa dengan adik lelakinya yang tinggal bersama di rumah itu.

"Bagaimanapun, adik lelaki mangsa berusia 61 tahun itu gagal dikesan sehingga kini dan dipercayai telah melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, polis kini sedang melancarkan gerakan mencari adik lelaki mangsa dikenali Ng Chun Ming bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, semakan mendapati adik mangsa sebelum ini mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

"Buat masa ini, polis belum menemui senjata yang digunakan, namun kita percaya kejadian ini ada kaitan dengan adik mangsa.

"Maklumat mengatakan ada terdengar bunyi pergaduhan, tetapi tidak dapat dipastikan berkaitan apa dan perkara itu pun tidak dilaporkan kepada polis," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

Mangsa dan isteri dikatakan baru berpindah ke kediaman itu tahun ini dan tinggal di kediaman terbabit bersama ibu, abang dan adik lelakinya.