Asyik siasat, mana tindakan?

Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir lumpur hingga merosakkan rumah di 11 kampung di daerah Baling pada Isnin. - Foto Bernama
Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir lumpur hingga merosakkan rumah di 11 kampung di daerah Baling pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SEMAKIN hari semakin berani tindakan beberapa pihak yang cuba meneroka bukit sehingga menyebabkan berlakunya tragedi banjir lumpur dan kepala air di beberapa kawasan.

Pada Isnin, hujan lebat selama tiga jam telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir lumpur hingga merosakkan rumah di 11 kampung di daerah Baling.

Tragedi berkenaan turut mengorbankan tiga nyawa apabila jasad wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan arus kepala air di rumah mereka di Kampung Iboi ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.

Apabila dipersoal, dikecam dan dipertikai oleh orang ramai, maka penafian mula dibuat, kemudian disusuli dengan tuding jari pada faktor-faktor lain.

Proses itu berulang berkali-kali dan tidak ada kesudahan. Pada masa sama, angka mangsa terjejas sehingga ada yang tergadai nyawa semakin meningkat disebabkan bencana yang berlaku hasil daripada perbuatan tersebut.

Sudah bertahun-tahun siasatan dibuat, mengapa tindakan penguatkuasaan belum diambil ke atas individu-individu yang bertanggungjawab?

Atau adakah hukuman yang dikenakan terlampau ringan sehinggakan mereka tidak ‘makan saman’ dengan undang-undang negara.

Pada Rabu, Pakar Geologi, Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar dengan tragedi-tragedi yang berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyarankan penerokaan bukit dan kawasan berisiko seluruh negara perlu dihentikan buat sementara waktu sehingga kajian secara bebas dilakukan oleh golongan profesional.

Dalam pada itu, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, insiden kepala air dan banjir lumpur di Baling merupakan satu isyarat penting kepada kerajaan Kedah supaya lebih berwaspada dengan keadaan yang tidak stabil akibat penerokaan hutan.

Ujar beliau, penerokaan hutan akan menyebabkan kawasan hutan sebelum ini adalah primer menjadi sekunder.

Justeru itu, kerajaan sudah tidak boleh memandang ringan lagi berhubung permasalahan yang berskala besar seperti ini.

Meskipun pelbagai bantuan diberikan kepada mangsa-mangsa yang terjejas, namun demi mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap kebolehan kerajaan, pelaksanaan undang-undang perlu diperketatkan bagi memastikan pelaku yang bertanggungjawab akan menerima hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka.